KUALA LUMPUR – Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat kehilangan kapal kargo Malaysia kapal MV Dai Cat 06 pada 20 Januari lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, skop dan penumpuan siasatan menjurus kepada tiga perkara iaitu navigasi keselamatan pelayaran dan kapal, pengumpulan fakta, mengemukakan penemuan dan cadangan tindakan seperti tindakan kompaun dan lain-lain yang bersesuaian dan mengemukakan laporan dalam masa 30 hari daripada tarikh penubuhan Jawatankuasa Siasatan.
Kementerian Pengangkutan melalui JLM, katanya, akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya berdasarkan penemuan dan cadangan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan mengikut mana-mana perundangan yang berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang bertanya apakah sebenarnya yang terjadi dengan kapal kargo yang hilang itu dan apakah penyelesaiannya.
Menurut Loke, kali terakhir kapal MV Dai Cat 06 dapat dihubungi adalah pada 1 Januari 2023 yang ketika itu dilaporkan berada di sekitar perairan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.
Posisi terakhir kapal MV Dai Cat 06 dikesan melalui pemantauan AIS adalah pada 1 Januari 2023 iaitu di sektor 9 Traffic Separation Scheme (TSS) sekitar Pulau Mungging.
Selepas daripada itu, pemilik dan wakil syarikat perkapalan gagal menghubungi dan mengesan lokasi kapal tersebut.
Menurutnya, kapal kargo Malaysia MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang pada awal Januari 2023 di perairan Indonesia dikesan telah menutup Sistem Identifikasi Automatik AIS pada 25 Disember 2022 dan pada 29 hingga 30 Disember 2022.
Jelas Loke, berdasarkan semakan yang dibuat, kapal berkenaan telah tiba di Lumut pada 19 Disember 2022 jam 12.30 tengahari dan memulakan operasi memunggah masuk kargo bermula jam 3.43 petang pada hari yang sama.
Kapal itu turut melaksanakan kerjakerja penyelenggaraan kepada peralatan navigasi dan komunikasi seperti RADAR, Global Positioning System (GPS) dan saluran Very High Frequency (VHF) di Jeti ICP Lumut.
Operasi memunggah kargo telah diselesaikan pada 22 Disember 2022.
“Berdasarkan rekod pergerakan kapal yang dipantau oleh JLM melalui sistem Automatic Identification System (AIS), Kapal MV Dai Cat 06 direkodkan belayar keluar daripada Lumut pada 23 Disember 2022 dan berlabuh di Perairan Sungai Besar pada 26 hingga 28 Disember 2022 untuk penyelengaraan sistem enjin utama dan sauh,” ujarnya.
Kedudukan terakhir yang diterima melalui isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikesan pada Latitud 1° 36.04’ N, Longitud 108° 35.46’ E di perairan Indonesia.
Tambah Menteri Pengangkutan, sejurus maklumat kejadian kehilangan MV Dai Cat 06 diterima pada 10 Januari 2023, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengambil tindakan bagi mendapatkan keterangan awal daripada wakil syarikat perkapalan tersebut.
Lanjutan itu, JLM telah mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mengadakan perbincangan susulan dengan pemilik kapal MV Dai Cat 06 pada 17 Januari 2023.
Pemilik kapal telah diminta membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Pelabuhan Klang untuk memaklumkan kejadian kehilangan kapal tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi yang berkaitan.
Dalam hal ini, Borang Kemalangan KEM 1 telah diterima JLM pada 19 Januari 2023 daripada wakil syarikat Dai Cat Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette