Jumi

BATU PAHAT – Berdepan dengan bencana banjir hampir setiap tahun menjadi perkara biasa bagi sesetengah penduduk di daerah ini.

Namun apa yang tak dijangka, bah yang berpanjangan itu menyebabkan mereka terpaksa menyambut Ramadan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Itulah situasi yang perlu dihadapi 444 mangsa banjir di Batu Pahat di lima pusat PPS yang masih beroperasi di daerah itu.

Bagi 54 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Agama (SA) Seri Chomel yang terpaksa menunaikan hari pertama puasa di PPS namun mereka tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh.

Salah seorang daripadanya, Farisom Saidi, 65, mengakui walaupun sedih namun mereka berharap dapat pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut Ramadan.

Farisom

“Kalau kami nak balik rumah pun tak boleh sebab semua barang memang tenggelam habis. Kalau balik pun tengok air sahaja. Sedih memang sedih tetapi memang saya berharap dapatlah balik semula rumah tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Jumi Samsi, 68,  melahirkan rasa sayu apabila mengenangkan dua anak bujangnya yang menyambut sahur di rumah tanpa dirinya.

“Ini masak sahur nanti, masak sayur bayam. Sedih juga teringat anak di rumah tetapi mereka sudah besar, lelaki semua. Saya sahur makan roti sahaja.

Jumi

“Saya harap mudah-mudahan air cepat surut dan boleh balik dan puasa di rumah dengan anak-anak. Mereka kena jaga rumah. Bila ingatkan anak-anak rasa nak menangis. Sedih,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Zubaidah Kassim, 40, bersyukur walaupun terpaksa menyambut Ramadan pertama di PPS.

Walaupun keinginan pulang ke rumah menyambut Ramadan bersama keluarga terpaksa dilupakan, beliau tetap mengharapkan dapat merasai kenikmatan berbuka puasa di rumah sendiri.

“Sedih sangat-sangat sebab harap dapat puasa di rumah dan hari-hari tengok rumah surut tak surut. Terpaksalah berpuasa di sini. Pagi tadi masak sama-sama tapi anak-anak macam biasa bila macam ini, dia tak nak makan sangat.

Zubaidah

“Tidak tahu kalau dalam seminggu lagi mungkin boleh janji ada tempat tidur boleh masak. Betul mesti mahu balik,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette di PPS SA Seri Chomel mendapati 54 mangsa banjir di situ sibuk menyiapkan hidangan berbuka puasa dan sahur sebagai persiapan mereka petang ini.

Terdapat juga aktiviti seperti mewarna bagi kanak-kanak di PPS itu sebagai mengisi waktu menunggu waktu berbuka puasa.

Tiga PPS yang akan mengadakan solat tarawih di PPS adalah di Sekolah Agama Seri Bertam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Hua Min, dan Sekolah Agama Seri Chomel.

Manakala mangsa banjir di dua lagi PPS iaitu Sekolah Kebangsaan SK Seri Medan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng akan menunaikan solat tarawih di masjid dan surau berhampiran.-MalaysiaGazette