Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memandang serius tuduhan yang mendakwa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan surat pembatalan tersebut telah ditandatangani oleh pegawai kementerian tersebut.

Sehubungan itu, laporan polis akan dibuat atas dakwaan palsu ini.

Kementerian itu menjelaskan bahawa Yayasan Albukhary telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan namun semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.

Oleh itu, Kementerian Kewangan (MoF)  sama ada melalui mantan Menteri Kewangan dan/atau pegawai-pegawainya, tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Sebelum ini, Perdana Menteri pernah mengesahkan Guan Eng tidak pernah membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sepanjang kira-kira dua tahun memegang jawatan itu bermula Mei 2018 lalu.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan yang mengaitkan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan terlibat dalam pembatalan pengecualian itu juga tidak tepat sama sekali.

Isu itu timbul selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary Ujar Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018 dan LHDN enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini.

Susulan itu, pada 15 Mac lalu, Guan Eng melalui Tetuan Gouk telah menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya menarik balik kenyataan dan memohon maaf berhubung tuduhan yang mengaitkan beliau dengan pembatalan cukai kepada yayasan itu.

Surat tuntutan itu turut menyebut, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Guan Eng sebagai individu yang terlibat membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum ini dalam tiga kenyataan berasingan.

Susulan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh diberi tempoh tujuh hari bermula 15 Mac untuk menarik balik kenyataan serta membuat permohonan maaf secara terbuka, selain tidak mengulangi dakwaan itu.

Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, Tetuan Gouk bagi pihak Guan Eng, akan memfailkan writ saman bagi memulakan prosiding undang-undang terhadap Muhyiddin. – MalaysiaGazette