Bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PUTRAJAYA – Pemohon dalam kumpulan sasaran di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) masih boleh mendapatkan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) atau institusi kewangan apabila SRP tidak lagi diteruskan mulai tahun ini.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), dalam kenyataan hari ini berkata walaupun SRP, yang dilancarkan pada 2011 tidak diteruskan namun kerajaan melalui Belanjawan MADANI 2023 telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan di bawah SJKP.

KPKT berkata dalam pengumuman Belanjawan MADANI 2023, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd bersetuju menyediakan jaminan pembiayaan melalui SJKP sehingga RM5 bilion nilai pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan.

SJKP adalah salah satu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan pada 14 April 2022 bertujuan meningkatkan pemilikan kediaman terutamanya dalam kalangan golongan B40, M40 dan pekerja sektor tidak formal.

“SJKP merupakan program yang menawarkan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig,” menurut KPKT.

Menurut kenyataan KPKT itu, sebanyak 16,808 peminjam telah menerima manfaat dengan nilai pinjaman RM2.32 bilion daripada pelaksanaan SJKP itu sehingga 31 Dis lepas.

Program SRP diumumkan semasa Belanjawan 2011 bagi membantu golongan muda untuk memiliki rumah pertama. Ia melibatkan yuran jaminan kepada Cagamas ditanggung oleh kerajaan, dan Cagamas menyediakan jaminan supaya pembeli rumah mendapat amaun pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan.

Tarikh tutup permohonan SRP telah ditetapkan pada 31 Mac 2023.

Sepanjang tempoh pelaksanaan program SRP, sebanyak RM19.9 billion nilai pembiayaan telah memberi manfaat kepada 86,708 peminjam.

“KPKT akan terus menyokong usaha membantu peminjam mencapai impian pemilikan rumah selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” menurut ementerian itu. – BERNAMA