KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi Malaysia jangka pendek akan terus menghadapi cabaran sejajar dengan ramalan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jangkaan itu berdasarkan penurunan kadar pertumbujan indeks pelopor (IP) terlicin Januari 2023 yang kekal mencatatkan aliran di bawah trend 100.0.

Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

“Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 1.5 peratus kepada 108.5 mata pada Januari 2023 berbanding 110.2 mata pada Januari 2022 (Paparan I). Bilangan syarikat baharu didaftar, import benar semi konduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia adalah antara komponen yang menyebabkan penurunan IP.

Pada masa yang sama, IP bulanan juga turut mencatatkan penyusutan sebanyak 1.5 peratus pada Januari 2023 berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Semua komponen menunjukkan penurunan kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang meningkat 0.3 peratus.

Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun kepada 119.5 mata pada Januari 2023 berbanding 114.3 mata pada Januari 2022, disumbangkan terutamanya oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit.

Bagaimanapun, perubahan bulanan IS mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus yang disebabkan oleh gaji & upah benar, pembuatan (-0.3%) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast