KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, berkuat kuasa hari ini.
Beliau dilantik memangku jawatan itu bagi menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan yang hadir pada majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur mengucapkan tahniah kepada Azmi.
“Terima kasih atas sumbangan Azmi sepanjang terajui kontinjen Kuala Lumpur sejak 13 April 2021. Harap pegawai dan anggota di Kontinjen Kuala Lumpur memberi kerjasama baik kepada Yahaya untuk teruskan kecemerlangan Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
“Saya yakin beliau mampu laksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.Saya juga percaya dengan urus tadbir strategik ini dapat meneruskan kecemerlangan kontinjen Kuala Lumpur ke tahap lebih tinggi dalam menjamin ketenteraman dan kesejahteraan ibu negara ke tahap lebih tinggi nanti,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut, hari ini.
Sementara itu, Azmi dalam ucapannya berkata, tiada yang membanggakan beliau sepanjang hampir dua tahun menjawat jawatan berkenaan selain daripada prestasi tinggi dicatatkan oleh pegawainya.
“Pegawai-pegawai kita catat prestasi yang tinggi, kadar pertuduhan paling tinggi bukan sahaja untuk jenayah tetapi jenayah komersial, narkotik serta kes-kes sekatan jalan raya.
“Begitu juga prestasi terhad mengurus kita mencatat jumlah yang sangat tinggi pada tahun 2020. Bilangan pegawai kita yang culas sudah berkurangan. Saya harap pencapaian ini akan bertambah baik selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette