KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan penurunan minggu depan disebabkan sentimen global yang lemah, kata peniaga.
Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, pasaran akan menyaksikan pengambilan untung selanjutnya minggu depan, bergerak dalam lingkungan RM3,700 hingga RM3,900 satu tan metrik kerana harga telah meningkat terlalu tinggi baru-baru ini.
“Paras stok yang tinggi di Malaysia dan Indonesia menekan harga. Bagaimanapun, harga akan disokong permintaan dari Pakistan, India dan China yang membeli untuk musim perayaan Islam ,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pasaran MSM akan terus dipengaruhi oleh sentimen global yang lemah dengan krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan sentimen menurun secara keseluruhan di seluruh kelas aset.
“Sejak lewat 2022, harga MSM telah disokong oleh jangkaan pasaran terhadap penggunaan biodiesel yang jauh lebih tinggi dan eksport lebih rendah dari Indonesia serta kesan hujan lebat pada awal 2023 terhadap pengeluaran.
“Bagaimanapun, data pengeluaran terkini dari Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa hasil berada pada aliran menaik. Kekurangan pekerja asing di Malaysia juga sedang ditangani dengan pantas dan berkemungkinan dapat diselesaikan pada separuh pertama 2023. Ini memberi kesan kepada harga MSM,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, minyak sawit kebanyakannya didagangkan lebih rendah kecuali pada hari Selasa, menjejaki pergerakan minyak sayuran pesaing dalam persekitaran sentimen global yang lebih lemah terutamanya yang didominasi oleh kejatuhan bank-bank di AS baru-baru ini dan harga minyak mentah lebih rendah.
Pada asas mingguan, niaga hadapan MSM untuk bulan semerta April 2023 merosot RM320 kepada RM3,751, May 2023 jatuh RM380 kepada RM3,607 satu tan metrik dan Jun 2023 menguncup RM408 kepada RM3,512 setan metrik.
Sementara itu, Julai 2023 berkurangan RM397 kepada RM3,474 satu tan metrik, Ogos 2023 turun RM376 kepada RM3,457 setan metrik dan September 2023 merosot RM354 kepada RM3,450 setan metrik.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 428,480 lot daripada 359,498 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 193,754 kontrak daripada 180,023 kontrak minggu lepas.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan merosot RM30 kepada RM3,950 satu tan metrik. – BERNAMA