Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa ramai rakyat marah di media sosial dengan hasrat Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang untuk membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk golongan kaya.

Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA berkata, rata-rata pengguna mempersoalkan logik dan keperluan membina MRSM untuk golongan M40 dan T20.

“Jangan sesekali kita lupa objektif asal MRSM adalah untuk membantu anak orang miskin supaya mereka dapat pendidikan yang berkualiti.

“Ramai yang tanya siapa yang akan dapat kontrak ini. Kosnya berapa? Guna duit rakyat atau tidak?” kata Syed Saddiq dalam video yang dikongsi di media sosial.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran untuk kerajaan menggunakan kadeah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurut Syed Saddiq, kaedah tersebut banyak menimbulkan kontroversi sambil mengaitkan beberapa projek kerajaan menggunakan PFI.

“TPM pula menjawab kita akan guna konsep PFI. Jadi apa itu PFI? PFI adalah private financing inisiatif. Kata mudah ia seperti kredit kad kerajaan. Beli dulu kemudian bayar beransuran.

“Apa contoh PFI? Ingat pembinaan UiTM Tapah. Angaran kos pembinaan RM285 juta tetapi kerajaan memberikan konsesi 23 tahun kepada syarikat swasta yang akhirnya mendapat dalam anggaran RM1.3 bilion.

“Ingat konsesi AES? Yang bila kita memecut di lebuhraya kena saman dan duit saman pergi ke syarikat swasta yang sangat kontroversi sampai kerajaan terpaksa ambil alih semula? Itu juga contoh PFI. Jadi PFI ini bukanlah free 100 peratus,” kata beliau.

Ahli Parlimen Muar itu mempersoalkan keperluan membina MRSM bagi golongan kaya kerana negara telah mempunyai lebih 180 sekolah swasta dan antarabangsa.

Syed Saddiq juga mempersoalkan sama ada pembinaan MRSM bagi golongan kaya merupakan langkah MARA untuk memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan.

“Adakah MARA kini hendak fokus buat perniagaan? Ini kerana dulu buat perniagaan di Australia rugi puluhan juta. Mara Digital Mall terpaksa ditutup

“Siapa akan dapat projek PFI ini? Adakah akan ada ketirisan sepertu sebelum ini? Jangan kita ulangi kesilapan sama.

“Saya bangkitkan soalan-soalan ini bukan kerana saya hendak hentam kerajaan tetapi kerana saya juga anak Mara. Tanpa Mara mustahil saya berada di sini,” kata Syed Saddiq.

Presiden MUDA itu berkata, beliau mahu memastikan Mara tidak lari daripada tujuan asal iaitu untuk membantu keluarga-keluarga susah.

Ahmad Zahid pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu memberi jaminan penubuhan MRSM berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan.

Kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM berbayar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, permintaan untuk memasuki MRSM kini berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan.-MalaysiaGazette