KUALA LUMPUR – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan tanah-tanah orang asli ini dijadikan Tanah Kesultanan, agar lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia.
Sultan Johor bertitah, langkah berkenaan perlu diambil bagi mengelak orang asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Orang asli di negeri Johor dijaga baik oleh pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kehidupan mereka seperti jalan raya, perumahan, sekolah serta surau. Sesetengah penempatan Orang Asli turut ada kemudahan Internet.
“Namun, ada orang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas golongan ini, mengeksploitasikan mereka dalam kegiatan yang tidak sah di sisi undang-undang. Ada yang menceroboh ke tanah perladangan sehingga beratus ekar. Sudah pasti mereka dipergunakan oleh orang luar.
“Ada dalam kalangan orang asli yang dieksploitasi bagi menceroboh tanah bagi kegiatan haram seperti tanaman kelapa sawit, memotong kayu-kayan yang bernilai, serta memburu binatang liar,” menurut baginda dalam hantaran di Facebook.
Tambah Sultan Ibrahim, kawasan orang asli dan sempadannya telah ditentukan oleh Kerajaan Negeri sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar lagi.
Di samping itu, Enakmen Tanah Kesultanan, penguatkuasaan sedia ada juga harus dipergiatkan ke atas sebarang salah laku,” titah baginda. – MalaysiaGazette