GAMBAR tular di media sosial menunjukkan dua remaja dipercayai mangsa dera yang ditemukan orang awam dalam keadaan diikat dengan rantai besi di Simpang Empat, Kangar, Perlis semalam.- Utusan

KANGAR – Tiga beradik lelaki dipercayai mangsa dera ditemukan penduduk kampung dalam keadaan lemah dengan dua daripada mereka kaki masih berantai di tepi sebuah titi, di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata seorang lelaki yang menemukan mangsa berusia 13 hingga 16 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Dua daripada remaja tersebut merupakan orang kurang upaya (OKU) yang memiliki kad OKU masalah pendengaran dan pembelajaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga beradik itu dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama.

“Mereka telah melarikan diri dari rumah dipercayai kerana tidak tahan didera. Lain-lain maklumat belum diperoleh kerana mangsa enggan bercakap,” katanya.

Yusharifuddin berkata ketiga-tiga remaja itu sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta dilaporkan stabil.

Menurutnya polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai ibu mangsa dan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kedua-dua suspek tersebut direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast