BUTTERWORTH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan lantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan dibuat berdasarkan konsep lantikan politik.
Sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, lantikan itu dibuat berdasarkan kelulusan dan pengamalan Asyraf Wajdi yang mempunyai kelulusan dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.
Jelas beliau, pengalaman Asyraf Wajdi itu diharapkan dapat membantu kerajaan khususnya dalam membangunkan MARA sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.
“Lantikan beliau (Asyraf Wajdi) kerana sebelum terlibat dalam politik beliau seorang yang pakar dalam bidang perbankan Islam malah mempunyai pengalaman dan kelulusan tinggi.
“Maka rugilah dengan pengalaman dan kelulusan beliau begitu kalau kita tak gunakan untuk bersama-sama dengan saya bagi membangunkan MARA,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertikaian beberapa pihak atas perlantikan Asyraf Wajdi yang dibuat atas lantikan politik.
Pelantikan Asyraf sebagai pengerusi Mara dikritik Ahli Parlimen pembangkang dan badan pemantau pilihan raya Bersih, yang mempersoalkan jika kerajaan mengubah pendiriannya mengenai lantikan politik bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, perlantikan itu dibuat berdasarkan garis panduan Kabinet serta mengikut nasihat Perdana Menteri.
“Lantikan ini sesuatu yang lumrah dan pernah dilakukan kerajaan sebelum ini dan kita tidak akan lantik mana-mana individu yang tidak akan memberi sumbangan kepada organisasi yang diketuainya,” katanya. – MalaysiaGazette