Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood bercakap kepada media selepas Program Kongsi Rezeki Ramadan di Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih berupaya meneruskan operasi sehingga kini walaupun akaun banknya telah dibekukan sejak insiden kebakaran pada 2017.

Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, ramai individu yang bersimpati dengan nasib pusat tahfiz berkenaan yang tampil menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah kita dapat beroperasi seperti biasa walaupun akaun kami pada bulan Ogos 2018 dibekukan dan duit sumbangan tidak dapat digunakan.

“Allah SWT akan hantar insan-insan yang sudi membantu dan semangat kami kembali pulih serta dapat beroperasi sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni dan mengagihkan juadah berbuka puasa sempena Program Kongsi Rezeki Ramadan kepada pelajar-pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat di sini, hari ini.

Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah menjadi tumpuan apabila seramai 21 pelajar dan dua gurunya terkorban dalam tragedi kebakaran pada 14 September 2017.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terhadap seorang remaja lelaki setelah dia didapati bersalah membunuh semua 23 mangsa.

Mohd. Zahid menambah, pusat tahfiz berkenaan kini beroperasi di bangunan asalnya yang dimiliki Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setelah premis sementara terbakar dalam tragedi kebakaran yang menyayat hati itu.

Menurut beliau, semua pelajarnya yang terdiri daripada golongan asnaf tidak dikenakan sebarang bayaran untuk mengikuti pengajian. – MalaysiaGazette