KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya memikirkan inisiatif lain untuk membantu golongan pekerja dan bukan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk sekian kalinya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, caruman KWSP adalah simpanan hari tua dan tuntutan untuk pengeluaran kali kelima tidak wajar dalam keadaan semasa.
“Dengan membenarkan pengeluaran simpanan hari tua bukan cara penyelesaian terbaik dan wajar diikuti oleh Malaysia.
“Keputusan ini juga tidak mengikut Rancangan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Emas (RTKWE) yang memperkukuhkan sistem perlindungan sosial bagi warga emas.
“KWSP adalah salah satu perlindungan yang terbaik untuk warga emas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Effendy, tindakan pihak tertentu yang mendesak pengeluaran KWSP buat kali kelima selepas i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas merupakan satu tindakan popular jangka pendek.
“Tindakan mereka hanya untuk mendapatkan sokongan rakyat tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan pekerja selepas bersara serta pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Sebaliknya, kerajaan perlu mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta bagi mengurangkan belanja sara hidup.
“MTUC berpendirian bahawa semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya bertindak demi kepentingan tertentu.
“Perkara yang paling penting ialah memastikan kita mempunyai mekanisme gaji progresif yang mengambil kira upah untuk sara hidup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette