SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) memberi amaran kes kepada mana-mana pihak termasuk NGO Impact Malaysia agar tidak sesekali bermain api dengan menghasut anak muda mengunjungi rumah ibadat selain Islam.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, semua pihak harus akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan ke atas umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam.
Katanya, titah itu sangat jelas sekali merupakan larangan yang telah dikeluarkan oleh Sultan.
“Dalam kita memperhalusi setiap jejak Ramadan yang baharu sahaja bermula ini, harus diingat agar seluruh rakyat khususnya di Selangor terus berperanan dalam menjaga isu sensitif yang melibatkan agama.
“Maka, titah Tuanku Sultan mengenai larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan Gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan agama lain, amat jelas sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan, DPPS juga kesal dengan isu dimainkan pihak tertentu melibatkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengenai kononnya beliau melarang pembinaan kuil.
Ia sebenarnya, menepati garis panduan sedia ada yang dikeluarkan Perancang Bandar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perancangan Negeri dan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Asasnya isu sensitif sebegini apabila sudah diputuskan oleh Sultan Selangor, sewajarnya kita ambil jalan yang terbaik iaitu akur dan menerima dengan tenang.
“Dalam kelembutan kita hidup harmoni sebagai masyarakat majmuk memahami silang budaya dan agama, pendirian tegas dan tuntas sebagai umat Islam wajib diteruskan agar saling hormat menghormati terbina bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Justeru, kata Mohamed Sukri, semua pihak wajar menyambut baik seruan dan titah Tuanku Sultan Selangor agar menjadi panduan dalam urusan melibatkan agama di negeri ini. – MalaysiaGazette