Home Nasional Polis guna jentera bomba cekup 19 pengedar dadah

Polis guna jentera bomba cekup 19 pengedar dadah

 

KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Sentul, di sini, ditahan polis.

Malah 19 cuba meloloskan diri daripada ditangkap polis dengan lari memanjat bumbung sebuah flat di Jinjang Baru, Kepong namun tindakan pantas polis dengan menggunakan tiga jentera bomba menggagalkan usaha mereka.

Ketua Polis Daerah Sentu,l Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, Kuala Lumpur telah menjalankan risikan ke atas satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul, Kuala Lumpur.

Tindakan polis dengan bantuan jentera bomba naik ke atas bumbung flat sentul untuk mencekup pengedar dadah yang cuba meloloskan diri dalam operasi awal pagi 5 pagi tadi.Ihsan IPD Sentul

Katanya, bermula jam 5 pagi hingga 10 pagi satu operasi telah dilancarkan dengan bantuan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia di Flat Jinjang Baru, Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan kami berjaya menangkap sembilan suspek lelaki dan seorang perempuan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah–Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil serbuan ke atas kawasan tersebut juga telah menangkap 19 lagi suspek lelaki disyaki mengedar dadah iaitu masing-masing satu lelaki di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dua lelaki di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, 13 individu di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan akhirnya seorang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Kesemua suspek berkenaan yang ditangkap adalah berusia antara 23 tahun hingga 40 tahun dan mereka cuba meloloskan diri dengan memanjat atas bumbung tingkat empat flat Jinjang Baru namun kami berjaya naik atas bumbung dan berkas mereka,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis dengan bantuan bomba memotong pintu besi unit rumah flat di sentul dalam operasi gempur pengedar dadah hari ini. Ihsan IPD Sentul

Malah katanya, polis juga terpaksa menggunakan khidmat bomba bagi memotong pintu besi tebal masuk ke dalam rumah suspek dan melakukan pemeriksaaan.

Tambah beliau, kesemua suspek itu telah dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Hasil operasi telah merampas dadah jenis Methamphetamine berjumlah anggaran berat 59.44 gram bernilai RM5,944.

Keseriusan polis IPD SEntul bersama bomba yang menggempur rumah flat di sentul dan memberkas sindiket pengedaran dadah iaitu seramai 27 suspek dalam operasi awal pagi hari ini. Ihsan IPD Sentul

“Turut dirampas adalah dua buah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah buah motorsikal jenis Yamaha Y15, seutas rantai bersama loket warna kekuningan, tiga utas gelang tangan, tiga bentuk cincin, seutas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM 603,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang dilibatkan dalam ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine.

Katanya, semakan juga mendapati kesemua suspek memiliki  rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kesemua suspek akan dipohon perintah reman pada 28 Mac ini (Selasa) untuk meneruskan siasatan polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan diperolehi.

“Hasil dari tangkapan dan rampasan tersebut, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul semenjak enam bulan yang lalu,” jelas Eng Lai. – MalaysiaGazette