BAYAN BARU – Sebenarnya tidak wujud lagi trend kenaikan harga barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran pada bulan Ramadan mahupun musim perayaan.
Sebaliknya, rata-rata peniaga mendakwa kenaikan dan penurunan harga barangan basah kini berlaku secara tidak menentu dan berpunca daripada pembekal.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam Bayan Baru di sini, hari ini mendapati harga sayur-sayuran dan ikan menurun antara RM3 hingga RM6 sekilogram.
Peniaga sayur, Hazrul Izam Abdul Hamid, 43, berkata, harga sayur meningkat hingga mencecah 50 peratus seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.
Bagaimanapun, katanya, minggu pertama puasa semua sayur-sayuran itu menurun secara berperingkat dan kini kekal pada kadar tertentu.
“Harga sayur buncis seminggu sebelum Ramadan RM16 sekilo, kini RM10; tomato (RM12 kini RM6); bendi (RM14 kini RM10) sawi (RM6 kini RM3).
“Namun harga petai kekal tinggi dan kini naik satu kali ganda iaitu RM16.
“Kalau nak kata harga sayur naik pada bulan puasa atau musim perayaan saja sudah tidak sesuai kerana kami sebagai peniaga pun berdepan situasi harga barang mentah turun naik secara tidak menentu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Bagi Teoh Guan Hock, 66, pula, harga sayur lazimnya meningkat apabila menghampiri musim perayaan namun kini berada pada kadar berpatutan.
“Saya sudah berniaga di pasar ini hampir 40 tahun tapi sekarang kita tak boleh kata harga barang naik ikut musim.
“Bila barang itu banyak harganya murah kalau pembekal bagi sikit tapi permintaan banyak semestinya harga barang basah itu melambung tinggi.
“Sebagai peniaga, saya boleh kata harga sayur mahal jika dibandingkan dengan Ramadan lepas tetapi ia tidak boleh diambil kira kerana seminggu sebelum puasa baru ini harga sayur lebih mahal berbanding kadar sekarang,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan, Ahmad Idris Ibrahim, 68, berkata, harga jualannya bergantung kepada bekalan daripada pembekal.
“Sekarang ni susah nak cakap pasal harga stabil dalam tempoh lama, ada hari harga turun adakalanya naik tapi dalam anggaran RM1 hingga RM3.
“Tapi semua ini berlaku kalau bekalan kurang dan saya selalunya akan beritahu harga awal-awal kepada pengguna supaya mereka faham kenaikan ini bukan berpunca daripada peniaga kami sendiri pun tertekan dengan keadaan harga berubah hari-hari,” katanya. – MalaysiaGazette