Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

SHAH ALAM – Selain Pas, pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) Selangor juga menyambut baik titah peringatan Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tidak menjadikan masjid dan surau medan serta propaganda politik kepartian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, sebagai pimpinan kerajaan negeri, mereka akan terus mematuhi larangan mengadakan aktiviti berbaur politik di rumah ibadat Allah.

Katanya, titah baginda itu adalah peringatan yang perlu diberikan perhatian oleh seluruh rakyat terutama ahli politik di Selangor.

“Semua rakyat Selangor di peringkat pimpinan parti politik kena faham dan tahu larangan ini adalah arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Saya rasa semua orang termasuk ahli politik kena akur dengan segala titah perintah Tuanku,” katanya yang dipetik Harapan Daily hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Sultan Selangor sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Pada masa sama, baginda mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk terus mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Halimey berkata, orang ramai juga perlu tahu kepentingan masjid sebagai rumah ibadah tidak seharusnya dicemari dengan budaya fitnah, hasutan dan kempen-kempen politik.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir nazir dan imam yang masih membenarkan ceramah berunsur politik diadakan di masjid serta surau di negeri ini.

“Setiap masjid dan surau kena faham bahawa orang-orang politik terutama daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri akur dengan perintah Tuanku.

“Inikan pula pimpinan-pimpinan parti politik yang lain (termasuk PN) pun kena akur sama termasuk juga penceramah-penceramah lain yang tiada tauliah,” katanya.

Katanya, pentauliahan untuk penceramah agama amat penting bagi memastikan seseorang itu tidak mengambil kesempatan menjadikan platform ceramah itu sebagai medan hasutan agenda jahat ataupun propaganda politik.

Beliau turut mengingatkan dirinya sendiri termasuk semua ahli politik lain untuk tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Saya sendiri pun dijemput untuk bagi ucapan dalam masjid atau surau tetapi saya menolak atas dasar saya hormati atas titah Tuanku,” ujarnya.

Selain Selangor, beberapa sultan negeri lain turut sama menegah ucapan politik di masjid dan surau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast