Bazar Ramadan Bayan Baru antara 38 lokasi BRR seluruh negara.

BAYAN BARU – Penyelarasan sewa tapak Bazar Ramadan Rahmah (BRR) berjumlah RM1,000 di pekarangan masjid Umar Ibnu Al-Khattab di sini bukan saja meringgankan beban peniaga malah turut diterjemahkan dalam bentuk pengurangan harga makanan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kira-kira 98 peniaga di bazar berkenaan mendapat manfaat di bawah inisiatif Payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selain itu, rata-rata peniaga mendakwa pengurangan tapak sewaan dalam bentuk bidaan yang mencecah sehingga RM3,000 sebelum ini amat membantu mereka memandangkan kos bahan mentah kini lebih tinggi.

Menurut peniaga Yob puding telur istimewa, Siti Nabilah Hardi, 27, dia berdepan situasi bidaan tapak tinggi sebelum ini memandangkan bukan anak kariah namun tahun ini dia berpeluang mendapat tapak pada kadar tetap sekali gus meringgankan kos penyediaan makanan.

Nabilah menunjukkan dua saiz hidangan puding telur yang dijualnya iaitu RM5 bagi pek kecil manakala RM7 bagi pek sederhana.

“Inisiatif BRR ini amat membantu kami sebagai peniaga kerana pengurangan itu bukan saja dapat diterjemahkan dalam bentuk pengurangan harga makanan tapi ia juga bantu dari segi kos penyediaan serta gaji pekerja.

“Kali ini kami tawarkan puding telur pada harga RM5 bagi pek kecil berbanding RM6 pada tahun lalu.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba makanan ini pada harga mampu beli iaitu tidak melebihi harga menu Rahmah,” katanya hari ini.

Tambah Nabilah, hampir 90 talam puding telur istimewa itu terjual dalam tempoh dua jam susulan pengurangan harga selain mereka sudah dikenali memandangkan berniaga bazar berkenaan sejak 2002.

Abdul Halim.

Bagi peniaga, Abdul Halim Ibrahim, inisiatif BRR itu digunakan untuk membeli bahan mentah bagi penyediaan makanan bagi kuey teow, bihun serta mi goreng yang dijualnya.

“Semua sedia maklum barang basah kini mahal jadi saya gunakan duit pengurangan tapak ini untuk bahan mentah bagi masakan sekali gus mengekalkan harga makanan.

“Saya jual makanan antara RM3 hingga RM5 agar semua pengunjung dapat menikmati makanan disediakan gerai kami,” katanya sambil menambah hampir 50 kilogram kuey teow, bihun serta mi goreng dijualnya di bazar tersebut setiap hari sejak hari pertama Ramadan.

Abdul Halim dan isteri sedang menyediakan jualan mereka di BRR Bayan Baru.

Sementara itu, Norida Ibrahim, 57, berkata, dia terpaksa menukar jualan tradisi martabaknya tahun ini gara-gara mahu memastikan pengunjung mampu menikmati harga berpatutan di BRR.

“Sembilan tahun saya jual martabak tetapi tahun ini saya dan keluarga ambil keputusan jual cucur udang kerana kos penyediaan martabak lebih mahal.

“Kami bersyukur apabila diberikan pengurangan sewaan tapak jadi takkan mahu jual barang mahal?

Norida teruja pertama kali peroleh pengurangan harga tapak bazar Ramadan selepas sembilan tahun berniaga.

“Kami ambil inisiatif jual makanan pada harga berpatutan agar pengunjung turut dapat merasa tempias pengurangan kadar sewa menerusi inisiatif BRR KPDN ini,” katanya.

BRR dilaksanakan di 38 lokasi seluruh negara antaranya Bazar Ramadan Food Truck Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur; Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak; dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu. – MalaysiaGazette