Kerja-kerja pembinaan Menara Merdeka 118 yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Warisan Merdeka Tower (KL118), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pada tahun 2023, kebanyakan sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih sederhana berikutan jangkaan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan tahap pertumbuhan yang kembali normal selepas tahap tinggi yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, pertumbuhan akan didorong oleh pengembangan yang berterusan dalam subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan manakala subsektor berorientasikan eksport dijangka menjadi sederhana sejajar dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Sementara itu, gangguan rantaian bekalan yang semakin pulih dan penyelesaian kekurangan pekerja juga akan menyokong semua kegiatan ekonomi.

Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dijangka disokong oleh aktiviti berkaitan pengguna dan pelancongan berikutan pemulihan yang berterusan dalam aktiviti pelancongan global.

Perkhidmatan berkaitan perniagaan akan terus menyokong pertumbuhan, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, sejajar dengan pengembangan berterusan dalam aktiviti pembinaan dan permintaan luaran.

Selain itu, permintaan yang berterusan terhadap perkhidmatan data, terutamanya untuk menyokong aktiviti e-dagang dan e-pembayaran, dijangka memberikan dorongan tambahan kepada subsektor maklumat dan komunikasi.

Pertumbuhan sektor perkilangan diunjurkan sederhana dengan kelompok E&E diunjurkan berkembang di bawah purata jangka panjangnya pada 6.2% sejajar dengan jangkaan kelembapan jualan semikonduktor global.

Pertumbuhan dalam kelompok perkilangan berkaitan pengguna dijangka lebih rendah berikutan aktiviti perbelanjaan isi rumah yang kembali normal.

Sementara itu, kelompok perkilangan berkaitan pembinaan diunjurkan mencatatkan pertumbuhan yang sederhana, disokong oleh pelaburan dalam struktur.

Kelompok berkaitan sumber dijangka berkembang pada kadar yang lebih pantas, disokong sebahagiannya oleh penggunaan kapasiti yang lebih tinggi di satu loji penapisan minyak utama di Johor.

Sektor pertanian akan disokong terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi berikutan bekalan pekerja yang semakin bertambah baik. Hujan yang lebih lebat pada permulaan tahun juga dijangka meningkatkan kelembapan tanah, lantas meningkatkan hasil minyak sawit pada hujung tahun 2023.

Di samping itu, pemulihan secara beransur-ansur bagi bekalan bahan mentah, terutamanya baja dan makanan ternakan, dijangka menyokong pertumbuhan subsektor ternakan dan pertanian lain.

Pertumbuhan sektor perlombongan diunjurkan sederhana. Loji baharu yang mula beroperasi di Semenanjung Malaysia serta pengeluaran yang lebih tinggi dalam loji minyak dan gas sedia ada termasuk Blok SK320 yang terletak di luar pesisir Sabah dan Sarawak akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

Hal ini akan mengimbangi kehilangan pengeluaran daripada penutupan berkaitan penyelenggaraan beberapa loji serta loji minyak dan gas yang matang.

Sektor pembinaan dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun 2023, disokong terutamanya oleh aktiviti dalam subsektor kejuruteraan awam dan kediaman yang terus meningkat.

Kemajuan yang lebih pantas dalam projek pengangkutan yang besar dan utiliti sedia ada akan meningkatkan pertumbuhan dalam subsektor kejuruteraan awam.

Sementara itu, pelancaran perumahan baharu yang lebih banyak, sejajar dengan jangkaan pengembangan dalam permintaan berikutan prospek pendapatan dan pasaran pekerja yang lebih baik akan memberikan sokongan kepada subsektor kediaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast