PUTRAJAYA – Sasaran untuk memproses 10,000 permohonan kewarganegaraan bagi tahun ini tidak bermakna Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berkompromi soal kelonggaran terma syarat dan prasyarat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN tidak akan berkompromi dengan apa yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak akan kompromi dalam soal keselamatan semata-mata hanya mahu mencapai KPI ditetapkan kerana apabila membabitkan soal kerakyatan, ia sudah dinyatakan dengan jelas, ada garis panduan dalam Perlembagaan berkait soal kerakyatan.
“Kita hanya perlu ikut sahaja garis panduan yang ditetapkan itu. Tiada sebab semata mahu mencapai 10,000 itu kita kompromi soal keselamatan negara.
“Jadi kita akan teliti setiap permohonan sebaiknya, ini bukan ‘rocket science’ tapi logik akal,” katanya dalam sesi dialog Menteri Dalam Negeri bersama media di kementeriannya, petang tadi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sasaran tersebut kini mencecah 50 peratus apabila lebih 5,600 permohonan diuruskan dalam tempoh empat bulan di KDN.
“Saya ditemani pegawai kanan dalam KDN ambil tanggungjawab bersama dalam membuat keputusan beri kelulusan atau menolak permohonan. Kalau ada yang mohon warganegara tapi tidak pernah pijak kaki ke Malaysia, jadi faham-fahamlah,” katanya.
Februari lalu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini.
Katanya, sejak beliau berkhidmat di KDN pada Disember tahun lalu, sebanyak 4,294 permohonan telah diproses.
Daripada jumlah itu, hampir 67 peratus diluluskan manakala bakinya ditolak.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan mengambil maklum berkenaan perkembangan perbicaraan membabitkan dua suspek militan rakyat Malaysia yang sedang dalam tahanan di Guantanamo, Cuba.
Jelas beliau, pihaknya telah mendapat makluman terkini berkenaan perkembangan itu daripada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Tambah Saifuddin, kerajaan akan bersedia dengan perancangan yang sepatutnya jika kedua-dua individu terbabit dipindahkan kembali ke Malaysia.
“Oleh kerana perkara itu belum berlaku (dipindahkan ke Malaysia), tapi jika berlaku, baru kita aktifkan pelan itu,” katanya.
Sebelum ini, dua rakyat Malaysia terbabit iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berhadapan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. – MalaysiaGazette
Cetak ic macam cetak ringgit guna mesin cetak Made in China apa lagi susulan 1.2 juta pelancong Cina tiada rekod keluar. Apa khabarnya di Penang?