Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Isu dakwaan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa dirinya dihalang daripada menghadiri majlis anjuran Kerajaan Persekutuan turut diheret ke Dewan Rakyat.

Wakil pembangkang, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan isu berkenaan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bagi mendapatkan kepastian daripada kerajaan.

“(Dewan Rakyat) bincangkan MB Kedah tidak dibenarkan hadir majlis Kerajaan Persekutuan. Kelmarin nak buat majlis anjuran kerajaan negeri Kedah tapi telah dibatalkan, (beliau mahu) sewa bangunan.

“Ramai terkejut kerana melibatkan seorang MB yang dilantik oleh Sultan Kedah. Saya hantar 14 usul satu pun tak diterima malah undi tergempar Peraturan Mesyuarat 18 (1) juga ditolak,” bangun Shahidam necelah ketika Dewan Rakyat memasuki fasa Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.

Ketika itu Johari memanggil Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat.

Menjawab pencelahan itu, Johari menasihatkan agar Shahidan mengemukakan usul dan tidak boleh bangun untuk mengemukakan dakwaan tersebut.

“(Ahli Parlimen) Arau kena masukkan usul tak boleh bangun dan buat begitu, saya belum terima usul Arau.

“Ada bukti hitam putih yang kerajaan keluarkan arahan yang MB tidak akan dijemput ke mana-mana progam, tidak ada.

“Itu hanyalah laporan pemberita-pemberita, oleh yang demikan kalau Arau setuju boleh kemukakan usul dan saya akan pertimbangkan,” katanya dengan nada tegas.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalangnya daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, larangan itu termasuk daripada menghadir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Malah Sanusi turut mendakwa majlis melibatkan anjuran pihaknya pula ‘diganggu’. Kali ini dakwa beliau, kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar turut ‘diganggu’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast