Penduduk terpaksa membasuh perkakasan memasak menggunakan pili air bomba susulan mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.

GEORGE TOWN – Ketiadaan bekalan air sejak semalam menyukarkan kehidupan lebih 1,200 penghuni Blok D Fasa II Flat UDA Tanjong Tokong di sini.

Tinjauan mendapati kesukaran itu turut menjejaskan kemeriahan Ramadan bagi penghuni beragama Islam apabila terpaksa bergantung kepada air daripada saluran pili air bomba bagi kegunaan harian dan mengambil wuduk.

Penduduk, Shaikh Muhammad Faiz Shaikh Abdullah, 34, mendakwa, bekalan air terpaksa diputuskan sejak jam 1 petang semalam selepas mendapati berlaku kerosakan pada pam bermotor tangki air blok terbabit.

Dia yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) berkata, dia tidak terdaya untuk mengangkut air kerana terpaksa berebut dan menunggu lama bagi menaiki lif.

Shaik Muhammad Faiz (kanan) berstatus OKU terpaksa mengangkut air untuk kegunaan keluarganya.

“Satu daripada dua lif sedia ada sudah lama rosak dan apabila kejadian ini berlaku, ia menyukarkan lagi penduduk bagi mengangkut air.

“Kita juga bimbang air yang diangkut itu boleh merosakkan sistem pada lif sebab pelangi lapisan umur angkut air dan ia sudah tentu akan timbul lebih banyak masalah kelak,” katanya hari ini.

Tambah Shaik Muhammad Faiz, dia berharap kerosakan yang berlaku dapat diperbaiki segera demi kesejahteraan serta keselamatan penduduk di sini.

“Bulan puasa sebegini saya rasa semua orang perlukan lebih banyak air kerana rata-rata penduduk di sini beragama Islam jadi kita harap satu tindakan drastik dapat diambil bagi penyelesaikan masalah ini,” katanya.

Mohamed Nadir.

Menurut Setiausaha Persatuan Penduduk, Mohamed Nadir Mohd Mydin, pihaknya sudah berhubung dengan beberapa agensi dan wakil rakyat bagi mendapatkan penyelesaian.

“Juruteknik beritahu bahawa komponen yang rosak dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk sampai sebelum diganti selain ia hanya boleh diguna bagi tempoh enam bulan dan selepas itu perlu diganti semula.

“Air adalah keperluan asas dan kami harap isu ini diselesaikan segera dan tidak berulang lagi,” katanya.

Penduduk terpaksa berebut menaiki lif memandangkan hanya satu lif saja berfungsi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya sudah melakukan tinjauan ke lokasi dan kini menunggu tunggu laporan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette