Perkembangan terkini itu dikongsikan oleh Harimau Abroad menerusi laman media sosial Twitter yang memaklumkan Luqman telah mendapat permit kerja daripada kerajaan tempatan dan pihak kelab ketika ini sedang menunggu KV Kortrijk untuk menyelesaikan yuran perpindahan secara pinjaman pemain itu.
Sebelum ini, anak kelahiran Kelantan itu tidak boleh diturunkan dalam aksi kompetitif Njardvík ekoran masih belum menerima permit kerja dan beliau banyak terlibat dalam beberapa perlawanan persahabatan.
Baru-baru ini, Njardvík turun menentang Reykjavíkur dalam satu perlawanan persahabatan tertutup dan Luqman diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih pasukan iaitu Bjarni Johannsson dan Holmar Örn Runarsson.
Luqman tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki apabila dia menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-23.
Gol tunggal pemain itu bertahan sehingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Sebelum ini, Luqman menjaringkan dua gol ketika Njardvík turun menentang Haukar FC dalam satu aksi persahabatan yang mana pemain itu turut diturunkan dalam kesebelasan utama.
Jaringan pertama hadir apabila bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menyudahkan hantaran daripada rakan sepasukan dengan satu rembatan menewaskan penjaga gol lawan pada separuh masa pertama.
Untuk rekod, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk selama satu musim dan beliau berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan bersama kelab baharunya itu selepas bergelut untuk tampil bersama skuad utama dalam Liga Belgium. – MalaysiaGazette