Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab, mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara, bagi acara berbasikal bukit (MTB).

Atlet wanita berusia 20-an itu yang membuat laporan polis pada semalam, mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri, semasa menjalani latihan bersama pasukan.

Abu Samah berkata susulan laporan polis dibuat, pihaknya telah mengambil tindakan serta merta menggantung jurulatih berkenaan, bagi membantu siasatan lanjut.

“Saya mengesahkan sememangnya terdapat laporan berkaitan seorang pelumba basikal wanita mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya, baru-baru ini.

“PKBM menyerahkan siasatan lanjut kepada polis dan dalam masa sama menggantung jurulatih itu bagi memberi ruang kepada jawatankuasa disiplin badan induk berbasikal negara, mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abu Samah berkata kejadian gangguan seksual itu ternyata mengejutkannya dan sama sekali tidak pernah terjadi dalam kem berbasikal negara sebelum ini.

“Kali terakhir kem berbasikal negara terpalit dengan isu gangguan seksual ialah pada tahun 1989 dan selepas itu kita sentiasa mengingatkan jurulatih dan pelumba basikal, supaya menjaga batasan masing-masing.

“PKBM akan sentiasa memantau perkara ini dan turut menghulurkan bantuan kepada pelumba basikal terbabit, bagi mengelak mengalami trauma akibat gangguan seksual itu,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata badan induk sukan itu sama sekali tidak berkompromi di dalam hal keselamatan dan kebajikan atlet-atlet berbasikal kebangsaan, serta apa jua bentuk gangguan seksual ataupun tingkah laku terkandung dalam Kod Keselamatan Sukan.

“Sekiranya tuduhan tersebut didapati berasas, tindakan yang boleh diambil termasuklah penggantungan lesen dan penamatan kontrak perkhidmatan dan/atau pembatalan pelantikan ke pasukan berbasikal kebangsaan, sekiranya ada,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast