Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan hasil rampasan selepas sidang media berkenaan kejayaan dalam menumpaskan sindiket pengedaran serta rampasan dadah methamphetamine dan heroin bernilai RM11.034 juta di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 31 MAC 2023.

SHAH ALAM – Polis merampas lebih 300,000 gram dadah bernilai lebih RM11 juta dalam dua serbuan melibatkan dua kumpulan pengedaran di sekitar Damansara Perdana dan Pelabuhan Klang pada 28 Mac 2023.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dari jumlah itu, sebanyak 298,987 gram methampetamine bernilai RM10.8 juta dirampas.

“Manakala 17,590 gram heroin bernilai kira-kira RM234,366 turut dirampas dalam dua serbuan antara 11.30 pagi dan 1.50 tengah hari pada hari yang sama.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM11.034 juta dan kesemua dadah tersebut dipercayai untuk dipasarkan di Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Dalam serbuan sama, pihak polis menahan tujuh ahli dari dua kumpulan pengedaran dadah termasuk enam lelaki dan seorang wanita berumur antara 27 hingga 52 tahun.

Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki ketika sedang melakukan transaksi pemindahan dadah methampetamine dari kereta jenis Toyota Estima ke Toyota Alphard di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri perkhidmatan di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas sembilan guni plastik mengandungi 279 bungkusan bahan disyaki dadah jenis methampetamine seberat 294,490 gram.

“Susulan tangkapan dan rampasan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket di sini,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan pertama berusia antara 35 hingga 52 tahun dan memiliki rekod jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methampetamine dan seorang negatif,” katanya.

Bagi serbuan kedua pula, seorang lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di Pelabuhan Klang kira-kira jam 11.50 pagi, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta jenis Toyota Wish, polis menjumpai 28 ketulan disyaki dadah heroin seberat 12,600 gram dan sebungkus disyaki methampetamine seberat 497 gram.

“Susulan tangkapan itu, polis menemui dan merampas 11 ketulan disyaki dadah heroin seberat 4,890 gram di dalam bonet kereta jenis Perodua Myvi di tempat letak kenderaan pangsapuri di Ampang,” katanya.

Susulan tangkapan itu juga, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita masing-masing di Klang, Tanjung Malim dan Cyberjaya dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

“Tangkapan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 49 tahun mendapati rekod jenayah.

“Hasil saringan awal air kencing kesemua suspek adalah negatif,” katanya.

Selain dadah, pihaknya turut merampas dan menyita tiga buah kereta dan 17 barang kemas berjumlah RM191,000.

Kesemua suspek ditahan reman antara tiga hingga tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula dari 28 Mac 2023.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 15 sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette