Hantaran Muhammad Sanusi di Facebooknya hari ini.

ALOR SETAR -Meskipun diganti dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor  memberi jaminan akan memastikan semua acara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23) berjalan lancar.

Katanya, beliauakan memastikan semua agensi kerajaan negeri memberikan 100 peratus komitmen bagi memastikan semua acara di LIMA 23 pada 23 hingga 27 Mei ini berjalan lancar dan sempurna.

“Antara komitmen adalah Syarikat Air Darul Aman (SADA) diarahkan memastikan bekalan air bersih ke Langkawi tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan mendadak.

“Semua infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi dan Empangan Saga dan Bukit Malut di Langkawi disenggara sebaiknya untuk pastikan bekalan dibekalkan dengan sempurna.

“Demikian juga agensi-agensi kerajaan negeri lain khususnya di Langkawi sudah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA 23,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Muhammad Sanusi turut mengucapkan selamat datang kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, deligasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung ke Langkawi.

“Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Perpaduan dan LIMA’23. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast