SINGAPURA – Sistem imigresen di semua pusat pemeriksaan di Singapura yang sebelum ini mengalami gangguan sudah kembali beroperasi seperti biasa, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu.
“Kami sedang menyiasat untuk mengenal pasti punca sebenar kepada gangguan sistem itu,” memetik kemas kini ICA yang dimuat naik di Facebook.
CIA turut memuat naik beberapa gambar proses pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Changi.
Pada tengah hari, agensi itu melaporkan bahawa sistem pemeriksaan di pintu-pintu masuk ke negara ini mengalami gangguan.
Semua lorong automatik di semua terminal di Lapangan Terbang Changi dan di beberapa pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas mengalami gangguan.
Bagaimanapun, tiada gangguan pada sistem imigresen di pusat pemeriksaan di pintu masuk laut.- BERNAMA