Dr. Muhammad Akmal Saleh.-Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menarik keputusan mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1972.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhammad Akmal Saleh menegaskan, bukan satu tindakan bijak untuk mengeluarkan nikotin dari senarai Akta Racun supaya kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas cecair vape.

Beliau menegaskan Kementerian Kesihatan perlu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebelum mengeluarkan nikotin dari senarai Akta Racun.

“Mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang bijak pada ketika ini.

“Benar sebelum ini, kesemua cecair vape ini tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai akta racun.

“Tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini,” kata doktor perubatan itu.

Justeru katanya, keputusan itu perlu ditarik balik sehingga RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan oleh Parlimen.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) terhadap rokok dan vape yang hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2007.

“Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu baru kita keluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.

“Kami mendesak sekeras-kerasnya agar cadangan yang dikemukakan ini dapat diambil secara serius oleh kementerian kesihatan malaysia kerana kesihatan rakyat adalah perkara yang paling utama bagi kami,” katanya dalam kenyataan.

Tiga hari lalu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan KKM dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Semalam media melaporkan, kerajaan mula melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang menggesa kerajaan supaya menolak cadangan memberikan pengecualian kepada produk cecair atau gel nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952.

Beliau berkata, cadangan sedemikian akan memudaratkan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dan bukan untuk kepentingan negara.-MalaysiaGazette