KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji dan berulang pembakaran kitab suci al-Quran di Denmark pada 24 Mac dan sekali lagi pada 31 Mac lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini, Malaysia berkata, ini bukan kali pertama dalam tahun ini perbuatan keji tersebut berlaku di Denmark.
Keengganan kerajaan negara itu menghentikan perbuatan melampau itu tidak boleh diterima sama sekali, walaupun umat Islam di seluruh dunia telah menolak berkali-kali dan mengutuk kerasa perbuatan keji tersebut.
“Perbuatan Islamofobik yang dilakukan pada bulan suci Ramadan, ketika umat Islam dituntut untuk bersabar dan menahan diri, tidak lain daripada bertujuan untuk menyebarkan kebencian dan hasutan keganasan.
“Malaysia menyeru kerajaan Denmark mengambil tindakan tegas ke atas pelaku tersebut dan tidak mengistilahkan perbuatan keji berkenaan sebagai kebebasan bersuara.
“Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengerah usaha dalam memastikan kitab suci agama dihormati sepenuhnya dan dilindungi di samping mengambil tindakan penting dalam memerangi Islamofobia serta menggalakkan hubungan harmoni dan semangat hidup bersama secara aman di kalangan individu berbilang agama selaras dengan asas-asas Hak Asasi Manusia,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada 31 Mac lalu, sekumpulan ekstremis anti Islam berhaluan kanan Denmark, Patrioterne Gar Live yang membakar naskah suci Al-Quran termasuk mempamerkan sepanduk anti Islam di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye di Copanhagen, Denmark pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette