Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Ismadi.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)  kecewa terhadap keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengecualikan cecair atau gel nikotin yang digunakan bagi tujuan rokok elektronik (e-rokok) atau vape daripada jadual pertama Akta Racun 1952.

Presidennya, Fazreen Ismadi berkata, tindakan KKM itu seolah-olah tidak memikirkan kesan jangka panjang yang mungkin berlaku sekiranya nikotin itu dikeluarkan daripada senarai racun dalam akta terbabit.

“Sebagai sebuah kementerian yang mempromosikan kesihatan, tindakan KKM kali ini adalah canggung dan sungguh mengecewakan.

“GPMS bimbang sekiranya cecair atau gel ini bukan lagi kategori dalam Akta Racun, masyarakat terutama pelajar sekolah mudah mempunyai akses kepada barangan ini.

“Implikasi kepada kesihatan lebih besar kepada kesihatan berbanding kutipan duti yang dikutip. Hakikatnya KKM sepatutnya lebih mengetahui dan arif dengan meneliti statistik kemudaratan akibat aktiviti vape ini terutama dalam kalangan orang muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengesahkan KKM dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Sehari sebelum itu, media melaporkan, kerajaan mula melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Tambah Fazree, susulan itu pihaknya mendesak KKM untuk menggantung Perintah Racun (Pindaan senarai Racun ) 2023 Yang telah diwartakan.

Ia perlu dibuat sehinggalah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau Dan Merokok 2022 dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. – MalaysiaaGazette