Datuk Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim memperbetulkan persepsi penyokong UMNO yang marah kepada kerajaan kerana tidak membebaskan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak daripada permohonan semakan rayuannya di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kemarahan itu bukan bermaksud penyokong minta kerajaan campur tangan untuk membebaskan Najib.

Sebaliknya, tegas beliau, mereka mahu kerajaan campur tangan dengan melihat sesuatu kepincangan yang berlaku dalam sistem perundangan negara.

Katanya, mereka melihat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai hakim dan melanggar Kod Etika 2009 sebagaimana terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada mereka, kalaulah perkara ini didapati betul, berlaku penyalahgunaan kuasa, maka kerajaan perlu bertindak.

“Kerajaan pula kata, kita tidak boleh campur tangan. Ini bukan maksud kita nak kerajaan campur tangan seperti menelefon hakim, kamu kena buat keputusan begini, bukan caranya.

“Bukan kita mahu kerajaan kata kepada hakim, saya mahu Najib dibebaskan atau tidak mahu Najib dibebaskan. Itu campur tangan yang salah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Zaid, campur tangan yang dimaksudkan penyokong UMNO ialah kerajaan perlu melihat sesuatu kepincangan yang telah berlaku dalam sistem perundangan negara dan kerajaan wajar bertindak.

Katanya, umum sudah tahu SPRM telah menyiasat Mohd Nazlan dan laporan siasatan itu telah diberikan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat lima atau enam minggu sebelum perbicaraan Najib, yang kemudian Mahkamah Persekutuan menolak petisyen rayuan itu.

Ujar beliau, tugas kerajaan bukan sahaja melarang orang mencuri dan menyamun tetapi juga memastikan mereka menggunakan kuasa itu untuk tidak menganiaya orang lain dan itu adalah tanggungjawab kerajaan

“Seperti kes Najib, kalaulah betul seperti laporan SPRM ini, bagaimana kita boleh penjarakan beliau dan apa asasnya? Dia sepatutnya dibebaskan.

“Peguam Negara orang yang mendakwa Najib. Peguam Negara adalah pegawai kerajaan, penasihat Perdana Menteri dan menasihati Kabinet. Mengapa tidak Peguam Negara dipanggil dan ditanya mengenai perkara ini dan diminta untuk buat sesuatu?

“Kerajaan boleh arah Peguam Negara, sebab dia pegawai kita, dia bukan hakim. Jadi, inilah maksud penyokong Najib marah dan minta kerajaan campur tangan. Apakah kerajaan tidak mahu tolong langsung memperbetulkan perkara yang tidak betul ini?,” soalnya.

Kata Zaid lagi, jika kerajaan Malaysia merasakan setiap rakyat perlu ada hak untuk mendapatkan peguam bela bagi tujuan pembelaan, bukankah ini kepincangan yang boleh diperbetulkan terhadap Najib?

“Inilah maksudnya kita minta kerajaan membantu memastikan Najib mendapat pembelaan dan cara mudah ialah saya mencadangkan Perdana Menteri memanggil Peguam Negara. Tanya dia, betulkah laporan SPRM ini dan apakah tindakan Ketua Hakim Negara dalam hal ini?

“Betulkah hakim-hakim yang mendengar semakan Najib baru-baru ini, dan adakah mereka tahu mengenai laporan SPRM ini?

“Kalau nak tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja atau siasat semula, ini mengambil masa dua tiga tahun. Takkanlah Najib nak terus kekal dalam penjara selama itu sementara tunggu kita nak siasat,” katanya. – MalaysiaGazette