KUANTAN – Seramai 8,000 orang penjawat awam di negeri ini masing-masing bakal menerima sumbangan berjumlah RM1,200 bagi Bantuan Khas Aidilfitri 2023 daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bantuan itu turut diberikan kepada empat kategori penerima lain membabitkan peruntukan keseluruhan hampir RM13 juta.
“Penerima kategori seterusnya iaitu anak yatim yang berdaftar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diberikan RM200 setiap seorang bagi 700 orang.
“RM200 juga akan diberikan kepada pesara kerajaan negeri iaitu seramai 4,500 orang, begitu juga jumlah sama bagi setiap ibu tunggal miskin seramai 7,000,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 seorang akan diberikan kepada 2,773 orang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timbalan Pengerusi JKKR, Pengerusi JPKKOA dan Tok Batin, manakala Setiausaha JPKK akan diberikan RM200.
“Bantuan Khas Aidilfitri ini juga melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM12,956,900 yang memberi manfaat kepada 22,973 orang penerima.
“Saya berharap, bantuan khas ini dapat meringankan beban penerima terutamanya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri,” jelas Wan Rosdy lagi. – MalaysiaGazette