Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan program Kempen Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18) bagi mengurangkan kadar merokok di kalangan remaja dan belia.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, pelaksanaan kempen itu dibuat berdasarkan saringan 1.3 juta pelajar sepanjang tahun lalu dan mendapati 43,019 daripada mereka merokok.

Kata beliau, jumlah itu agak membimbangkan kerajaan dan penumpuan kempen GEGAR-18 akan diberikan kepada golongan berkenaan sebagai langkah mengelakkan sistem kesihatan negara terbeban dengan pesakit seperti kanser dan paru-paru.

“Begitu juga pada 2022, seramai dua juta murid yang disaring, 341 daripadanya didapati merokok. Semua mereka, dari sekolah menengah dan sekolah rendah yang didapati merokok ini telah diberikan nasihat berhenti merokok oleh pasukan pergigian KKM.

“Bagi melancarkan kempen ini, ia turut dijalankan di sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam sesi menjawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Lukanisman turut menyatakan usaha KKM dengan menegur Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-ahli Dewan Negara agar tidak merokok di kawasan persekitaran atau dalam pejabat Parlimen.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, selaras dengan kempen GEGAR-18 itu juga sebanyak 19 kampus universiti telah melaksanakan program mQuit universiti dengan membuat saringan serta nasihat berhenti merokok di kalangan penuntut.

“KKM juga terus memperluaskan kempen ini bagi belia yang tidak memasuki mana-mana IPT melalui Majlis Belia Malaysia (MBM) dan NGO berkaitan.

“Objektif kempen GEGAR-18 adalah untuk mendedahkan pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan bagi mewujudkan persekitaran yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok.

“Kempen ini juga bagi memastikan generasi penamat ini kekal dan bebas tidak merokok sepanjang hayat mereka serta dilaksanakan seiring dengan cadangan peruntukan larangan penjualan, pembelian dan penggunaan produk merokok kepada individu yang lahir pada 1 Januari 2007,” kata beliau. – MalaysiaGazette