Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Mohd Azahari Mukhtar

KUANTAN – Seorang penjawat awam yang berkhidmat di Johor antara tiga wanita yang ditahan setelah kantoi dengan aktiviti pengedaran dadah di Kuala Rompin baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan ditahan di parkir Hotel Sri Rompin pada 24 Mac lalu bersama dadah jenis ganja seberat 208.10 gram.

Hasil daripada pemeriksaan lanjut, salah seorang suspek mengaku ada menyimpan ‘barang salah’ dan mengambil sebuah beg berzip daripada bonet kemudiannya menyerahkan kepada pihak polis.

“Sepasukan anggota PDRM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta dinaiki oleh tiga wanita warga tempatan di kawasan parkir Hotel Sri Rompin, Kuala Rompin.

“Setelah membuat pemeriksaan didapati di dalamnya terdapat sebuah kotak kertas berwarna putih mengandungi ketulan mampat dedaun kering yang dibalut plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja.

“Ketiga-tiga suspek kemudiannya telah ditahan untuk siasatan lanjut. Semua suspek  negatif dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam kejadian berasingan pada 2 April lalu, polis telah membuat serbuan di ladang kelapa sawit di Felda Keratong 5, Bandar Tun Abdul Razak, dekat Rompin.

Dalam serbuan itu, polis berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Dalam tangkapan itu, polis menjumpai empat paket plastik lutsinar yang berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin seberat 21.91 gram.

Hasil ujian urin mendapati suspek positif ganja.

Mohd Azahari berkata,  suspek ditahan bagi siasatan lanjut.

Kesemua suspek telah disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – MalaysiaGazette