GEORGE TOWN – “Saya sihat belaka cuma kerja sebagai tukang kebun membuatkan saya tak larat untuk berpuasa”.
Demikian alasan seorang lelaki berusia 40-an kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas dikesan sedang menghisap rokok di sebuah astaka yang tidak beroperasi di Sungai Pinang di sini, hari ini.
Lelaki berkenaan turut mendakwa lokasi itu dijadikan tempat untuk dirinya melepaskan ketagihan rokok pada bulan Ramadan sebaik pulang dari kerja pada jam 11.30 pagi.
Selain lelaki tersebut, rakannya turut dikenakan notis atas kesalahan sama selepas memberikan alasan dirinya tidak mampu berpuasa susulan menghidap penyakit diabetes namun gagal mengemukakan surat perubatan berkaitan.
Dalam serbuan di sebuah premis makanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, pihak JHEAIPP turut menemui ratusan bungkus air ketum dalam sebuah kereta namun ia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Itu antara senario dilihat wartawan MalaysiaGazette sepanjang operasi banteras ponteng puasa dilakukan JHEAIPP di sekitar George Town serta Bayan Lepas yang berakhir jam 3 petang tadi.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Anuar Ismail pihaknya melakukan serbuan di lokasi yang dikenal pasti menjadi pilihan kaki ponteng puasa serta aduan bergambar daripada orang awam.
Jelas beliau, berdasarkan 30 notis yang dikeluarkan pihaknya bermula hari pertama puasa, masih ramai kaki ponteng puasa di negeri ini memberi alasan mempunyai masalah kesihatan dan gastrik.
“Jika betul mereka tidak sihat sepatutnya makan di rumah bukan di tempat terbuka kerana kita bimbang ia boleh menimbulkan keadaan tidak selesa bagi orang Islam.
“Sehubungan itu, kita keluarkan notis mengikut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu tidak menghormati Ramadan dengan makan, minum atau merokok atau perkara lain seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengulas lanjut Anuar berkata, sebanyak 140 lokasi panas kaki ponteng puasa dikesan pihaknya membabitkan empat daerah dalam negeri ini.
“Operasi kesan dan banteras ponteng puasa ini akan diteruskan bagi memastikan bulan suci ini tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral sebegini sekali gus imej agama Islam itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette