Yahaya Othman menyerahkan juadah berbuka puasa kepada petugas polis di lapangan bermotosikal dalam majlis di Kampung Baru petang tadi.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan mengambil keterangan daripada lima individu  berhubung kes seorang pelancong wanita China tidak berdokumen menjadi mangs pemerasan seorang anggota polis semasa pemeriksaan berhampiran Bulatan Datuk Onn di ibu negara Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, mereka terdiri daripada pengadu kejadian itu termasuk anggota yang terlibat dalam tugas di lapangan serta tiga lagi saksi lain yang berada di lokasi kejadian tersebut.

“Kita sudah memanggil dan merakam percakapan lima individu iaitu pengadu, anggota bertugas serta lain-lain saksi.

“Kita akan mengambil dua lagi percakapan iaitu pemandu kenderaan e-hailing itu dan juga penumpang kenderaan tersebut iaitu seorang warga tempatan yang juga merupakan kawan kepada pelancong wanita China yang didakwa menjadi mangsa pemerasan anggota,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bazar Ramadhan di Kampung Bharu di sini petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan wanita warga China diperas ugut

Tambah beliau, percakapan daripada dua lagi individu akan dirakam esok.

Katanya, pemandu dan juga penumpang e-hailing kejadian tersebut telah dikesan.

“Sepatutnya pemandu kenderaan e-hailing dirakam keterangan hari ini tetapi dia tak dapat menghadirkan diri kerana memaklumkan ada kematian ahli keluarganya dan dia akan tampil esok di IPD Dang Wangi.

“Manakala seorang lagi individu warga tempatan iaitu kawan kepada mangsa pelancong wanita China itu juga berjaya dikesan dan dia juga akan tampil untuk memberi keterangan membantu siasatan polis.

“Dalam pada itu, mangsa wanita warga China itu masih belum dapat dikesan lagi tetapi kami sedang berurusan dengan Kedutaan China di sini untuk membantu mengesan wanita asing itu bagi membantu siasatan.

“Kita masih belum pasti sama ada wanita asing itu masih berada di dalam negara atau sudah pulang ke negara asal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, polis juga berhubung dan mendapatkan kerjasama Jabatan Imigresen untuk mnentukan status keberadaan semasa wanita asing itu dalam negara.

“Kita juga bekerjasama dan mendapatkan bantuan Organisasi Polis Jenyaah Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan wanita China (mangsa pemerasan) itu sekiranya sudah pulang ke negaranya. – MalaysiaGazette