Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) makin lesu dan gagal memainkan peranan sebagai pembangkang konstruktif dan berkualiti, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Beliau berkata, PN bukan sahaja gagal membentangkan belanjawan bayangan, malah gagal memperkenalkan policy statements seperti dijanjikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nampaknya, kata beliau, PN hanya bermain dengan retorik kaum dan agama, tetapi sentimen itu bukan dasar yang berupaya membantu pembangunan negara yang mampan.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) duduk di kerusi pembangkang dahulu, belanjawan bayangan untuk tahun 2023 telah dicadangkan. Ini bukan kali pertama belanjawan bayangan PH diperkenalkan.

“Sepatutnya belanjawan bayangan adalah peluang terbaik pembangkang menjalankan peranan semak dan imbang. Ini peluang untuk mengutarakan idea bernas mengenai pengurusan fiskal negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Faiz, kegagalan PN memperkenalkan belanjawan bayangan dan kenyataan dasar hampir dua bulan selepas Kabinet bayangannya dibentuk mendedahkan ketandusan idea.

Menurutnya, ketandusan idea itu menunjukkan ketidakupayaan koalisi itu untuk menjadi kerajaan dan inilah yang berlaku ketika mana mereka mentadbir Putrajaya sebelum ini.

“PN bukan sahaja gagal mewakili isu rakyat, namun makin menjadi ancaman kepada konsep federalisme yang dijulang selama ini.

“Perang terbuka Menteri Besar Kedah dan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Pulau Pinang akan merosakkan fabrik persekutuan Malaysia jika, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak dikawal oleh PN.

“Kebergantungan PN kepada cara politik Sanusi ini tidak menguntungkan negeri Kedah dan negara,” katanya.

Beliau berkata, Sanusi harus memahami Pulau Pinang telah sekian lama menjadi penghubung Kedah untuk hal perdagangan antarabangsa.

Bukan itu sahaja, ujar Faiz, ramai rakyat Kedah mencari nafkah di Pulau Pinang kerana negeri itu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Pembangunan pesat di Pulau Pinang sepatutnya diambil peluang oleh Sanusi supaya kesan limpahan itu memanfaatkan rakyat Kedah.

“Tetapi, semangat ketuanan Kedah yang cuba dimainkan Sanusi tidak membantu pembangunan di negeri jelapang padi ini. Malah, rakyatnya tidak pernah menganggap Pulau Pinang sebagai musuh.

“Rakyat Kedah tidak mendapat sebarang manfaat daripada permainan politik sempit sebegini. Sanusi seharusnya lebih bertanggungjawab kepada rakyat Kedah dengan menumpukan aspek pentadbiran dan ekonomi, bukan berpolitik siang dan malam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast