Seorang pengemis dilihat sedang mengira wang yang diperoleh daripada orang ramai di hadapan Masjid Kapitan Keling, di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang mengakui wujud trend kebanjiran pengemis termasuk warga asing mengambil kesempatan setiap kali menjelang bulan Ramadan di negeri ini.

Pengarahnya, Zakaria Taib berkata, rata-rata mereka dipercayai mengaut keuntungan ekspres dengan cara meraih simpati memandangkan sikap umat Islam suka bersedekah sepanjang bulan mulia ini.

Jelas beliau, sikap pemurah rakyat tempatan dijadikan peluang untuk sindiket pengemis mengaut keuntungan sekali gus menjadi faktor lambakan pengemis pada bulan Ramadan.

Zakaria.

“Pengemis ini hari biasa pun ada tapi tidak dinafikan bila tiba Ramadan kehadiran mereka lebih daripada biasa susulan gelandangan turut ambil kesempatan.

“Bagaimanapun, siasatan kita mendapati kebanyakan pengemis ini bukan penduduk Pulau Pinang sebaliknya ada yang datang dari Kedah, Perak serta Perlis semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan cara meraih simpati.

“Selain itu, kita juga dapati segelintir pengemis terutamanya warga asing didalangi sindiket berdasarkan kewujudan mereka secara berkumpulan di lokasi tumpuan orang ramai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Kawasan sekitar Komtar antara lokasi panas pengemis di Pulau Pinang.

Antara lokasi panas pengemis di negeri ini adalah sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang merupakan lokasi pentadbiran kerajaan negeri; bazar Ramadan serta masjid.

Menurut Zakaria, usaha membanteras kewujudan pengemis serta sindiket yang mendalangi kegiatan itu memerlukan kerjasama pelbagai agensi.

Jelasnya, JKM turut melancarkan kempen ‘Bijak Membantu Elak Tertipu’ bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai sandiwara pengemis yang sengaja meraih simpati.

“Zaman sekarang ini semua orang boleh cakap susah, pakai baju lusuh untuk menggambarkan keadaan mereka tetapi sekiranya mereka benar-benar memerlukan bantuan serta layak mereka boleh mohon dengan JKM bukan minta sedekah.

“Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan iaitu memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti di rumah anak yatim, pusat penjagaan orang tua bukan sembarangan agar lambakan pengemis bermusim dapat ditangani,” tegas Zakaria.

Gelandang turut mengambil kesempatan menjadi pengemis ketika bulan Ramadan.

Dalam perkembangan lain, Zakaria memaklumkan pihaknya akan melancarkan operasi membanteras pengemis berskala besar selepas Pusat Transit Gelandangan negeri di Jalan Magazine beroperasi tidak lama lagi.

“Projek perintis itu dilihat mampu membendung masalah gelandangan berkeliaran yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial lain.

“Ketika pandemik Covid-19 kita tangguhkan operasi membanteras pengemis dan kini kita lakukan pemantauan sebelum operasi skala besar dilakukan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast