KITA sudah terbiasa dengannya sebagai satu penyakit yang digambarkan di dalam filem – nampak jauh dan tersisih daripada kehidupan harian. Namun begitu, tuberkulosis atau batuk kering begitu dekat dengan realiti kehidupan kita berbanding dengan apa yang kita fikirkan selama ini. Ketua Divisyen Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa, Profesor Dr James Koh berkongsi mengenai tuberkulosis (TB) untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit yang ramai di antara kita tidak fikirkan itu.

Kita sudah tahu sangat adegan yang ditayangkan di layar perak atau di kaca televisyen itu. Seorang individu berseorangan dengan batuk kronik, tubuh yang semakin susut perlahan-lahan, dengan wajah pucat disebabkan peningkatan usia atau terlalu kuat bekerja. Sehinggalah satu hari batuknya semakin teruk dan berdarah. Tidak silap lagi, ada yang tidak kena.

Tuberkulosis (TB), atau pernah dikenali sebagai “penggunaan (the consumption)” kerana penurunan berat badan yang disebabkannya, adalah satu penyakit yang melemahkan badan dan disalah anggap sudah lama kita tinggalkan dahulu. Benar, ia penyakit lama yang ditemui pada tahun 1880an, tetapi hakikatnya ia masih wujud sehingga kini. TB adalah endemik di Malaysia, sama seperti demam denggi dan terbaharu, Covid-19. Biarpun kesedaran awam adalah tinggi bagi kedua-dua penyakit tersebut, ramai di antara kita yang jarang memikirkan kewujudan dan ancaman TB dalam masyarakat.

Pandang sahaja bahagian atas lengan kita, sudah pasti kita akan ingat semula. Rakyat Malaysia ada parut suntikan vaksin BCG (i.e. Bacille Calmette-Guerin) yang diberikan semasa bayi dan di waktu sekolah rendah. Suntikan itu melindungi kita daripada TB. Mungkin sebab itu kita berasa selamat, tetapi apa yang tidak kita ketahui adalah keberkesanannya semakin berkurang dari tahun ke tahun. Apabila kita sudah dewasa, ramai di kalangan kita yang sudah tiada imuniti.

Asas TB

TB berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis. Ia menyerang bahagian-bahagian berbeza pada tubuh badan. Paru-paru yang dirujuk sebagai tuberkulosis paru-paru (PTB), adalah organ paling biasa diserang. Tuberkulosis ekstrapulmonari (EPTB) adalah istilah yang digunakan untuk mengkategorikan TB apabila ia nyata di bahagian lain badan, termasuklah nodus limfa, tulang (kebiasaannya tulang belakang) dan dalam kes yang jarang berlaku, pada usus. Pesakit yang imunnya tertindas seperti orang yang menghidap HIV, bakteria itu boleh menyerang otak.

Dr James Koh

Mereka yang paling terdedah kepada jangkitan adalah orang tua, orang yang rendah imuniti seperti pesakit kencing manis, orang yang imunnya tertindas seperti orang yang menjalani terapi steroid kronik dan penghidap HIV. Kanak-kanak juga lebih berisiko kerana sistem imun mereka masih lagi berkembang. Sebab itulah mereka diberikan suntikan BCG. Orang lain yang berisiko termasuklah mereka yang tinggal di ruang kediaman yang sesak seperti pekerja asing dan orang miskin, kerana bakteria lebih mudah disebarkan.

Empat simptom utama PTB ialah batuk kronik, kuat berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan dan peningkatan suhu badan yang berulang pada waktu petang. Dalam manifestasi EPTB, penyakit TB menampakkan diri melalui nodus limfa yang membengkak, sakit belakang kronik dan tulang rapuh dan perut sensitif. Jika sudah menjangkiti otak, ia boleh menyebabkan sawan, sakit kepala, sering keliru dan perubahan dalam personaliti pesakit.

Salah satu cabaran dalam mengesan TB ialah, ia tidak menampakkan sebarang gejala secara serta-merta. “Anda barangkali sudah lama terdedah kepada bakteria TB. Ia kekal dorman atau tidak aktif di dalam badan dan berhibernasi. Gejala boleh muncul berbulan atau bertahun kemudian,” kata Profesor James. Permulaan simptom yang perlahan dan tidak ketara itu mungkin tidak mencetuskan sebarang amaran sehinggalah penyakit itu sudah teruk seperti apabila anda mendapati diri anda batuk darah.

Ujian TB

Diagnosis TB ditentukan melalui beberapa ujian. Untuk PTB, x-ray pada paru-paru akan menunjukkan “rongga”. Ia tanda jelas TB. Terdapat juga ujian air liur dan ujian kulit. Dalam kes EPTB, biopsi tulang dan bahagian yang bengkak perlu dilakukan.

Bila anda perlu berjumpa doktor? Peraturan praktikalnya ialah, ‘Jangan tunggu sampai batuk berdarah’. Jumpalah doktor jika anda batuk berterusan selama dua minggu. Dengan mengambil kira keadaan umum kesihatan anda, doktor akan tahu sama ada perlu melakukan ujian TB atau tidak. Jumpa doktor juga jika anda berpeluh-peluh pada waktu malam tanpa sebab dan mengalami penurunan berat badan bersekali nodus limfa membengkak atau sakit belakang yang kronik.

“Jika anda sedar ada terdedah kepada orang yang menghidap TB, iaitu orang yang bekerja atau hidup bersama anda, ada baiknya anda berjumpa doktor untuk diperiksa,” tambah Profesor James.

Beliau menjelaskan, sistem pemberitahuan yang baik sudah disediakan dalam sektor kesihatan awam. Apabila pesakit dikesan menghidap TB, doktor akan memberitahu pegawai kesihatan awam. Pegawai tersebut akan memulakan pengesanan kenalan untuk mengenal pasti orang yang berkemungkinan terdedah. Mereka akan menguruskan supaya orang- orang ini diuji.

Berjangkit atau tidak?

Berita baiknya ialah walaupun TB berjangkit, ia tidak menular seperti COVID-19. Sama seperti semua penyakit pernafasan, TB disebarkan melalui titisan air yang datang dari batuk atau air liur. Walau bagaimanapun, tidak seperti koronavirus, bakteria adalah berat. Oleh itu, ia perlu menjadi titisan air yang ketara. “Anda perlu betul-betul berhubung rapat dan dalam situasi di mana berlakunya pendedahan yang berpanjangan. Secara umumnya, lebih daripada lapan jam sehari,” kata Profesor James. Antara contoh kenalan rapat ialah penjaga terdekat, rakan sepejabat atau mereka yang tinggal di dalam rumah yang sama.

Seseorang yang mempunyai TB dorman atau tidak aktif, tidak boleh menjangkiti orang lain, termasuklah mereka yang menghidap EPTB, tanpa jangkitan itu diam di dalam paru-paru.

Rawatan apa yang diharapkan?

Rawatan TB itu mudah tetapi memakan masa yang lama. Gabungan empat antibiotik akan dipreskripsi untuk tempoh enam bulan sehingga setahun, bergantung pada bahagian badan yang terkesan. “Umumnya, PTB memerlukan tempoh enam bulan, manakala EPTB sembilan hingga 12 bulan,” kata Profesor James. Ubat-ubatan baharu berpotensi merawat TB dalam tempoh tiga bulan tetapi Malaysia belum ada kemudahan itu. “Pada masa ini, kita masih melaksanakan regimen lama,” katanya.

Pengambilan ubat-ubatan yang tepat pada masanya dan mengikut preskripsi adalah sangat penting. Jika pesakit tidak melengkapkan rawatan penuh atau tertinggal dos, bakteria tersebut akan menjadi tahan ubat. Ini memburuk menjadi TB tahan ubat secara meluas (XDR TB) dan TB rintang pelbagai ubat (MDR TB), atau apa yang lebih dikenali sebagai superbugs.

“Orang yang menghidap MDR/XDR TB boleh menyebarnya kepada orang lain. Malang bagi satu orang kerana apabila bakteria itu sudah tahan ubat, maka ia menjadi sangat sukar untuk dirawat. Kes-kes begini memerlukan banyak ubat alternatif yang melibatkan suntikan dan terapi yang lebih lama dengan tempoh sehingga dua tahun. Ia menjadi sangat, sangat rumit,” Profesor James memberi amaran. Untuk mengelakkan kesilapan begitu, sistem kesihatan awam mempunyai protokol daftar masuk di mana mereka yang menjalani rawatan sentiasa dipantau untuk memastikan pemberian ubat yang betul.

Sebaik sahaja rawatan dimulakan, seseorang tidak akan dijangkiti dalam masa sepuluh hingga 14 hari. Di hospital, pesakit akan diasingkan tetapi tiada tempoh kuarantin yang ditetapkan. “Apa yang paling penting ialah memakai topeng dan basuh tangan anda dengan kerap,” kata Profesor James.

Bilangan TB

Walaupun Malaysia tidak berada di dalam 30 negara teratas Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mempunyai beban tinggi untuk TB, ia masih dianggap sebagai negara yang mempunyai kes jangkitan yang tinggi iaitu anggaran 92 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Setiap tahun, antara 20,000 hingga 25,000 kes TB direkodkan yang mengakibatkan purata 1,500 hingga 2,000 kematian. (Perbandingan gambaran keseluruhannya: terdapat 50,000 hingga 100,000 kes demam denggi setahun, dengan kira-kira 100 kematian direkodkan.).

Baru-baru ini, terdapat laporan mengenai peningkatan kes. Namun begitu, Profesor James menjelaskan trend dalam kes TB ada kaitan rapat dengan pelaksanaan protokol Covid-19.

Pra-pandemik, pada 2018, Malaysia mencatatkan 25,837 kes. Semasa pandemik, pada 2020 dan 2021, kes menurun masing-masing kepada 23,644 dan 21,727. “Kita memakai topeng, melakukan penjarakan sosial dan mematuhi perintah kawalan pergerakan, yang mana semuanya membantu meredakan penularan TB,” jelas Profesor James.

Dengan kelonggaran SOP, insiden TB meningkat kembali ke tahap pra-pandemik. Pada tahun 2022, 25,391 kes direkodkan, walaupun kadar kekerapan jangkitan WHO menganggarkan kes sebenar sekitar 30,000.

Apa yang perlu kita lakukan?

Tiada “suntikan penggalak” untuk meningkatkan tahap imuniti terhadap TB. Cara terbaik untuk mengelakkannya adalah dengan memastikan gaya hidup sihat. “Secara amnya, seseorang yang sihat dengan sistem imun yang baik sepatutnya dapat melawan TB sendiri,” kata Profesor James.

Selain itu, adalah berbaloi untuk mengetahui gejala kerana rawatan awal itu penting. Jika dibiarkan terlalu lama, walaupun selepas pulih, TB boleh meninggalkan parut pada paru-paru yang akan mengekang kapasiti paru-paru seseorang buat selama-lamanya. “Apabila sudah pulih, jagalah pemakanan, bersenam dan jangan merokok. Anda boleh dijangkiti TB semula dan ketika itu ia boleh menjadi lebih teruk,” kata Prof James.

Pendidikan mengenai TB juga penting untuk mengelakkan stigma kepada mereka yang menghidapnya. Barangkali gambaran penyakit itu di dalam filem tidak membantu kerana TB sering dipaparkan sebagai “penyakit kotor” dan pasti akan berakhir dengan kematian. Padahal, hakikat sebenar begitu jauh sekali dari gambaran itu. Persepsi begitu boleh menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan kerana timbul rasa tidak berdaya, takut akan diasingkan dan disisih oleh masyarakat. Ingatlah, penyakit ini boleh disembuhkan dan ia boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Batuk tidak hilang? Pergilah berjumpa doktor. Jangan tunggu ia kembali pada hari lain.

Artikel disumbangkan oleh International Medical University Malaysia