KUALA LUMPUR – “Tidak adil untuk saya membuat sebarang kenyataan berhubung barisan kepimpinan baharu UMNO kerana ianya masih terlalu awal,” kata bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, parti dan akar umbi harus memberi peluang kepada ketiga-tiga Naib Presiden yang dipilih baru-baru ini untuk merancang hala tuju parti.
“Kita beri peluang kepada mereka, (kalau) saya beri komen mereka pun baru pegang jawatan. Malah baru sekali bermesyuarat termasuk petang ini.
“Jadi hala tuju parti dan sebagainya belum dibentangkan lagi dalam MK, itu kemungkinan sebab baru lagi menang jawatan,” katanya kepada media majlis lawatan dan ziarah anak-anak yatim di Rumah Amal Asnaf Al- Barakh, Keramat AU3, Taman Zoo View, di sini, hari ini.
Ismail Sabri tidak mempertahankan kerusi Naib Presiden pada pemilihan 18 Mac lalu.
Jawatan tersebut kini disandang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mempertahankan kerusi berkenaan manakala dua lagi Naib Presiden yang dipilih adalah Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ditanya apa yang akan lakukan selepas tidak mempertahankan kerusi Naib Presiden, Ismail Sabri memberitahu, beliauakan melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya buat keputusan bulan puasa ini, kita berehat dahulu, lepas raya saya aktif balik. Mungkin saya dengan NGO dan anak yatim dan asnaf.
“Lebih kepada kerja kebajikan, NGO bahasa saya nak aktif balik sebab saya dahulu mengantarabangsakan Bahasa Melayu, malah saya pernah anjurkan simposium.
“Mungkin kita akan adakan balik perkara sama lepas raya saya akan aktif balik dalam aktiviti bukan politik dan NGO,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Elok la tu… bg yg muda2 utk memimpin..