KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diedarkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) kepada orang ramai di sini hari ini.
Yang Dipertuanya, Shahir Adnan berkata, program melibatkan pelajar sekolah berkenaan adalah bertujuan bagi menyuntik semangat Malaysia Madani dalam kalangan mereka pada usia remaja.
“Diharapkan program-program sebegini dapat dilaksanakan di setiap sekolah agar semangat Malaysia Madani dipupuk di peringkat anak-anak lagi…mereka adalah pemimpin masa depan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, usaha seperti itu juga merupakan salah satu program yang diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Ujarnya, salah satu teras Madani yang menjadi tunjang PIBG SKTM2 adalah teras Ihsan iaitu, rasa belas kasihan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan. – MalaysiaGazette