Kanak-kanak berusia satu tahun satu bulan alami kecederaan pada bahagian telinga, pipi, dan tangan dan tapak tangan.

KUALA LUMPUR – Sebuah taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa terbabit dengan kes penderaan kanak-kanak didapati tidak patuh dengan Akta Taska 1984.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, ia berdasarkan hasil pemeriksaan JKM pada 29 Mac lalu.

Katanya, kementerian tersebut memandang serius berkenaan isu yang tular itu mendakwa kes penderaan kanak-kanak berlaku di sebuah taska yang berdaftar dengan JKM.

“Pengusaha taska telah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera dan dalam proses penutupan sementara.

“Ia bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska tersebut.

“Dalam pengurusan taska, bidang kuasa JKM adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas taska,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gambar kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan beberapa kanak-kanak dibiarkan menyusu atas lantai di dalam sebuah bilik kosong tanpa pengawasan

Tambah KPWKM, pengusaha taska bertanggungjawab memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska.

Jelasnya, sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis.

“Dalam isu taska tular ini, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak–kanak kepada pihak berkuasa PDRM atau menghubungi Talian Kasih di nombor 15999,” jelasnya.

Laporan juga boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.

Terdahulu, seorang wanita tampil membuat pendedahan di media sosial mengenai anakya, Maryam menunjukkan tanda pelik selepas tiga hari dipindahkan ke sebuah taska.

Beliau mendakwa anaknya digigit oleh seorang lagi kanak-kanak dan turut terdapat kecederaan lain termasuk pada bahagian telinga, pipi, dan tangan dan tapak tangan.

Dalam pada itu, beliau juga berkongsi gambar kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan beberapa kanak-kanak dibiarkan menyusu atas lantai di dalam sebuah bilik kosong tanpa pengawasan. – MalaysiaGazette