KUALA LUMPUR – Kejayaan besar kerajaan Selangor mendepani cabaran pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun adalah hasil kerjasama eratnya dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Hal ini diakui Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyifatkan sepanjang pandemik itu, Selangor merupakan lokaliti paling buruk di Malaysia berbanding negeri lain.
“Namun, atas dasar kerjasama baik kerajaan negeri dengan JKN ketika itu, kita dapat mengharungi cabaran berkenaan.
“Sedangkan, Selangor ketika itu antara negeri paling buruk dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan kes, jumlah kematian atau kesesakan di hospital sepanjang dilanda Covid-19.
“Saya masih ingat bermula tahun 2020 hingga 2021 bersama Exco Kesihatan Awam dan Pengarah Kesihatan Selangor, kami sentiasa cuba beberapa kaedah, selain melihat pendekatan untuk menanganinya,” katanya seperti dilaporkan Selangorkini, hari ini.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri sentiasa menambah baik apa yang ada seperti melakukan saringan di lokaliti, diikuti vaksinasi.
Malah, katanya, kerajaan negeri membeli hampir 700,000 vaksin manakala jutaan vaksin daripada kerajaan Persekutuan.
Tidak ketinggalan, kata beliau, kerajaan negeri juga menjadi rujukan iaitu pusat kuarantin Maeps yang turut menjadi pusat rawatan, hospital dan kecemasan sementara.
“Tanpa kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, tidak mungkin kita dapat harungi dan lepasi Covid-19,” katanya.
Kata Amirudin, kesan daripada pandemik Covid-19, kerajaan negeri juga menambah portfolio kesihatan awam di bawah Exconya Dr. Siti Mariah Mahmud.
“Kita perlu buat sesuatu ketika itu supaya dapat menghadapi cabaran mendatang. Ini kerana pada 2020 kita kurang bersedia daripada pelbagai aspek.
“Selain itu, kita tubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti (SUKA) supaya mereka menjadi pemangkin khususnya peringkat akar umbi agar faktor kesihatan awam diambil kira,” ujarnya. – MalaysiaGazette