Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin (kanan) bersama Pengarah BLH Ecoenergy Sdn Bhd, Lee Choon Seng dalam Majlis Pelancaran Stesen 'Electric Vehicle (EV) Charging' di Hotel Mega View, Kuantan

KUANTAN – Berita baik buat pengguna kenderaan elektrik (EV) di bandar raya ini.

Menjelang bulan Jun ini, sebanyak 33 stesen pengecas EV akan siap dipasang di 13 lokasi yang telah dikenal pasti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, sehingga hari ini, terdapat 11 unit parkir stesen pengecas EV telah tersedia untuk pengguna membabitkan lima kawasan di sekitar bandar itu.

“Di lima lokasi ini terdapat dua stesen fast charging dan yang 10 bagi slow charging. Insya-Allah kita akan teruskan lagi usaha pemasangan stesen pengecas ini di mana pada tahun 2024 akan didirikan 16 lagi lokasi dengan 47 pengecas yang akan dipasang, seterusnya pada tahun 2025, ada lagi 30 lokasi yang melibatkan 80 pengecas,” katanya.

Datuk Hamdan Hussin

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Stesen ‘Electric Vehicle (EV) Charging’ dengan kerjasama BLH Ecoenergy Sdn Bhd yang membabitkan tiga petak parkir khas di di sini hari ini.

Jelas Hamdan, ini merupakan kali pertama pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti MBK bekerjasama dengan pihak operator untuk melaksanakan pemasangan stesen pengecas EV.

“Ini merupakan satu lagi inisiatif hijau atau Kuantan Go Green membabitkan penggunaan kereta-kereta elektrik.

“Kalau sebelum ini, nak datang Kuantan, komuniti pengguna EV ini akan bertanya, di mana mereka boleh mengecas kereta mereka kerana sebelum ini memang agak kurang.

“Yang ada pun inisiatif daripada pihak swasta dan mereka tidak beroperasi 24 jam,” jelas beliau lagi.

Pengarah BLH Ecoenergy, Lee Choon Seng (dua dari kanan) menjelaskan berkenaan pemasangan stesen pengecas EV kepada Datuk Hamdan Hussin (dua dari kiri)

Justeru, katanya, dengan sasaran pemasangan sebanyak 160 stesen pengecas EV menjelang 2025, pengguna dalam kalangan warga Kuantan mahu pun pelancong diharap lebih tertarik untuk mengunjungi bandar itu.

Beliau berkata, Kuantan merupakan sebuah bandar pelancongan yang menyediakan banyak tempat-tempat menarik dan perlu bergerak seiring kemajuan semasa agar lebih ramai pelancong mengunjunginya dengan kemudahan yang disediakan.

“Ini bermaksud bermula dengan kawasan-kawasan pelancongan seperti Cherating sehingga ke Gambang, Tanjung Lumpur, Batu Hitam, KotaSAS dan Sungai Lembing, kita akan lengkapkan pemasangan stesen pengecas ini.

“Ini juga sebagai satu usaha mensasarkan pertambahan bilangan pelancong daripada negara jiran, iaitu Singapura dan Thailand yang banyak menggunakan EV,” jelas Hamdan.

Untuk rekod, sehingga hari ini, terdapat tiga unit pengecas EV ditempatkan di Hotel Mega View, dua unit di Kompleks Bandaraya Kuantan, dua unit di Berjaya Megamall, dua unit di Kompleks Seri Dagangan Centre dan dua lagi unit pengecas EV di Air Putih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast