KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia untuk melepas sepenuhnya saham pasukan The Red Warriors (TRW) sekiranya ada pihak yang merasakan dia tidak lagi layak menjadi pemilik kelab berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham turut berkongsi kekecewaan yang dirasai penyokong susulan prestasi buruk pasukan selain turut berdepan krisis luar padang membabitkan bekas jurulatih.
“Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) hutang RM3.8 juta belum diterima lagi sesen pun.
“Banyak perancangan saya termasuk progress fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun. Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi owner kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu,” tulisnya.
Terdahulu hari ini, media melaporkan penyokong Kelantan ‘mengamuk’ dengan menaikan sepanduk dan menampal poster meluahkan kekecewaan kepada Norizam susulan aksi buruk diperagakan oleh TRW dalam saingan Liga Super ketika ini.
Semalam, Kelantan tewas 0-3 kepada Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya yang menyebabkan pasukan itu terperosok di tangga kedua terbawah Liga Super. – MalaysiaGazette