Dadah jenis heroin dalam blok konkrit simen yang dihantar dari Malaysia ke Brisbane, Australia. Foto: Polis Persekutuan Australia.

KUALA LUMPUR – Polis Persekutuan Australia (AFP) merampas dadah jenis heroin seberat 336 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai A$268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Menurut kenyataan AFP, pasukan Pengawal Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah tersebut disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500kilogram.

Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar.

“Pegawai ABF yang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan itu positif dadah jenis heroin.

Dadah jenis heroin dalam blok konkrit simen yang dihantar dari Malaysia ke Brisbane, Australia.- Foto: Polis Persekutuan Australia.

“Penyiasat AFP dan pegawai ABF kemudian menggerudi blok konkrit simen itu sehingga ke bahagian dalam sebelum menemui dan mengeluarkan 960 bungkusan dengan setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan kesemua bungkusan heroin daripada blok konkrit itu dan menghantar konsainan tersebut ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

Katanya, risikan polis pada 29 Mac lalu mendapati konsainan itu diterima oleh seorang lelaki tempatan dan dia menggunakan sebuah trak yang disewa menuju ke Sydney.

Dadah tersebut dipunggah ke dalam sebuah gudang di Mount Druitt pada 30 Mac lalu.

“Pemerhatian mendapati lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal tersebut bersama alat pemotong untuk mengeluarkan bungkusan dadah yang disorok di dalam blok konkrit simen itu sebelum pasukan kami menggempur dan menahan suspek.

Barang kemas yang Polis Persekutuan Australia . Foto: Polis Persekutuan Australia.

“Hasil tangkapan suspek pertama itu, AFP melakukan beberapa siri penggeledahan di beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales dan Queensland yang membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk barang kemas bernilai A$700,000 (RM2.05 juta).

“Rampasan heroin seberat 336 kg heroin ini adalah rampasan kedua terbesar yang pernah direkodkan AFP dan ABF dengan rampasan terbesar heroin seberat 450 kg direkodkan di Melbourne pada 2021,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi  mengenalpasti dan menjejaki individu yang mendalangi kegiatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast