Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Penolong Bendahari Rafiq Hakim Razali bertindak demi kepentingan Armada dan mengikut tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Bersatu pada setiap masa.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq berkata tidak dipertikaikan bahawa Rafiq Hakim telah mengeluarkan RM1 juta daripada akaun CIMB Armada bagi tujuan bantuan COVID-19, Ramadan, Hari Raya dan kebajikan rakyat yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Perkara 4.2 Peraturan Armada menyatakan bahawa tujuan penubuhan Armada adalah, antara lain, untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti Armada bagi mencapai tujuan dan matlamat parti Bersatu.

“Menurut Perkara 6.10 Perlembagaan Bersatu, tujuan dan objektif Bersatu termasuk untuk ‘memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama’ ini menunjukkan bahawa kedua-duanya telah bertindak mengikut objektif parti,” kata Gobind.

Beliau berkata RM1 juta itu tidak pernah dalam kawalan langsung Syed Saddiq ataupun dibelanjakannya secara peribadi.

-“Wang itu digunakan untuk kebajikan dan diagihkan atas permintaan secara ad hoc kepada mereka yang memerlukan dan dilakukan melalui Rafiq Hakim serta anggota Armada yang lain. Tiada satu bukti menunjukkan bahawa wang itu digunakan untuk kegunaan peribadi Syed Saddiq atau Rafiq.

“Tiada di pihak pendakwaan memberikan sebarang penjelasan mengenai fakta paling penting ini. Setiap saksi, malah saksi pendakwaan telah memberikan keterangan mengatakan wang itu digunakan untuk tujuannya,” kata peguam itu semasa penghujahan di akhir kes pembelaan Syed Saddiq.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan RM1 juta dana milik sayap parti Bersatu untuk melakukan pecah amanah (CBT) dengan menyeleweng dana itu di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen, di sini, pada 6 Mac 2020.

Gobind berhujah bahawa tanggungjawab adalah pada pihak pendakwaan untuk membuktikan unsur CBT telah dilakukan oleh Rafiq Hakim, jika tidak kes itu akan gagal kerana Syed Saddiq didakwa bersubahat dengannya.

“Tiada dakwaan berlaku CBT dibuktikan terhadap Rafiq Hakim mahupun dakwaan berlakunya penyelewengan di pihak Syed Saddiq,” katanya.

Syed Saddiq juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.- BERNAMA