Muhammad Faiz Rahmad (depan kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini membuat laporan bagi menggesa polis menyiasat dakwaan kebocoran maklumat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, ia bertujuan bagi mempertahankan badan kehakiman negara selain, memastikan perbuatan tersebut bukannya satu tindakan terancang oleh SPRM yang menyalahi undang-undang.

Katanya, siasatan itu termasuk mengenai kebocoran maklumat siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kita minta supaya polis siasat di mana berlaku kebocoran dokumen-dokumen dan surat di antara responden-responden di antara Azalina dengan Tetuan Shafie, Azalina kepada SPRM, SPRM kepada Azalina dan sebagainya.

“Kenapa surat-surat ni boleh berada di media sosial, bagaimana media boleh dapat? Kenapa benda macam ini boleh dibocorkan…sedangkan ia masih lagi di bawah siasatan.

“Bila ia masih dalam siasatan sepatutnya semua dokumen ini haruslah dilindungi dahulu…biarkan dulu siasatan ni selesai. Bila dokumen-dokumen ni sudah berada di media massa automatik akan mewujudkan satu tanggapan yang buruk badan kehakiman kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Beliau ditemani ketua pemudanya yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya mendukung kebebasan institusi kehakiman negara.

Bagaimanapun beliau mendakwa, apa yang berlaku ketika ini seolah-olah adanya konspirasi dalam kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah, beliau mendakwa, Pakatan Harapan yang merupakan parti dalam kerajaan khususnya tidak mempunyai pendirian jelas berhubung kewajaran memberi pengampunan kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

“Banyak pemimpin-pemimpin mereka seperti Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan batuk di tangga seolah-olah beban pengampunan ini hanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Memang kuasa itu (pengampunan) merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, but don’t drag Agong in your party’s conspiracy (jangan heret agong dalam konspirasi parti kamu),” ujarnya. – MalaysiaGazette