PENAGA – “Tiada kata-kata untuk ungkap perasaan kami sekeluarga namun kami reda dan anggap ini satu ujian daripada Allah,” kata isteri kepada anggota tentera, Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang ditemui meninggal dunia selepas lima hari operasi pencarian di Hutan Simpan Royal Belum, Perak.
Menurut Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, kali terakhir dia bertemu dengan arwah suaminya pada 2 Mac lalu ketika menghantarnya di kem untuk ke lokasi operasi.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, tiada perubahan ditunjukkan suaminya ketika itu memandangkan setiap kali arwah menyertai operasi, dia akan balik dalam keadaan selamat.
“Memang terkejut bila dimaklumkan suami saya hilang tapi dalam tempoh lima pencarian itu tidak putus saya berdoa agar jasadnya ditemui.
“Jadi bila dimaklumkan oleh pihak tentera pagi tadi mengenai penemuan mayat arwah kami sekeluarga reda dan anggap ini satu ujian daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Pulau Mertajam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nurhayatul Husna berkata, mereka sekeluarga tinggal di kuarters Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.
Katanya, hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang anak Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, dua tahun.
“Arwah seorang suami yang penyayang dan sabar melayani karenah anak-anak.
“Malah saya juga sudah memohon izin daripada arwah untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah untuk menyambut Aidilfitri kali ini memandangkan dia dijangka tamat operasi awal bulan depan,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Fadzilah Abu Bakar, 55, berkata, kali terakhir anak tunggalnya itu menghubunginya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
“Menerusi panggilan itu Mohammad Nasri bercakap seperti biasa tiada apa-apa pelik yang diberitahu dan saya tak sangka esoknya kami dikejutkan dengan panggilan mengenai kehilangannya,” katanya.
Tambah Fadzilah, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya pada Disember lepas memandangkan arwah biasa sertai operasi dan keluar masuk hutan.
“Sudah 12 tahun arwah berkhidmat dalam pasukan tentera dan dia mengikut jejak langkah arwah ayahnya yang juga anggota tentera,” katanya yang kematian suami sejak 28 tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan selepas lima hari pencarian, mayat Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum di Gerik, akhirnya ditemui hari ini.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam, Penaga di sini. – MalaysiaGazette