Tiga maut dalam kemalangan di Tanjung Musang, Alor Setar, Kedah malam tadi.

ALOR SETAR – Tiga lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah lori treler di Jalan Tanjung Musang, di sini, malam tadi.

Kejadian jam 10.50 malam itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) susulan mengalami kecederaan di bahagian muka serta tangan.

Dua mangsa maut dikenali sebagai Muhammad Haikal Hasni dan Muhammad I’dil U’kashah Samsudin.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tiga lelaki maut yang berusia 19, 21 dan 23 tahun itu masing-masing dari arah Alor Setar menghala Jabi.

Jelas beliau, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori treler tersebut bergerak keluar dari simpang sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.

“Ketika lori treler itu sedang bergerak di lorong kiri tiba-tiba dirempuh empat motosikal dari arah belakang.

Lori treler yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga maut.

“Akibat pelanggaran itu, tiga penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang remaja yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan dikejarkan ke HSB untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast